by Oh! Semput
Jumaat lalu, YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah membentangkan Bajet 2018 dengan tema “Memakmur ekonomi yang inklusif, menimbang keunggulan duniawi dan ukhrawi demi mensejahtera kehidupan rakyat, menuju aspirasi TN50” yang menyaksikan peruntukkan sejumlah 280.25 bilion ringgit yang bakal digunakan untuk tahun 2018 yang akan datang.
Peruntukkan tahun ini juga menyaksikan pertambahan peruntukkan yang agak banyak berbanding dengan Bajet 2017 pada tahun yang lalu yang hanya sejumlah 260.8 bilion ringgit.
Untuk Bajet 2018 yang baru dibentangkan ini, banyak peruntukkan bakal disalurkan kepada rakyat melalui bentuk bantuan kewangan, perbelanjaan terhadap pertahanan negara serta pembinaan infrastuktur yang bakal menjamin tahap keselamatan negara serta memberi keselesaan kepada rakyat pada tahun yang akan datang.
Memandangkan jumlah peruntukkan yang disediakan pada kali ini meningkat berbanding pada tahun lalu adalah penting untuk pihak kerajaan memastikan segala peruntukkan yang hendak disalurkan sampai tetap kepada sasaran yang telah ditetapkan. Pihak kerajaan harus memastikan tiada ketirisan atau kebocoran berlaku dalam menyalurkan segala bentuk bantuan yang ingin disampaikan kelak.
Seperti yang diketahui umum, sepanjang tahun ini sahaja, kita telah didedahkan dengan pelbagai isu yang membawa kepada keresahan rakyat akibat daripada ketirisan wang kerajaan berterusan berlaku seperti kes pecah amanah, penyalahgunaan wang dan harta kerajaan serta yang paling utama masalah yang berkaitan dengan rasuah.
Masalah ketirisan yang berlaku semenjak kebelakang ini sedikit sebanyak mencemarkan imej kerajaan serta menyebabkan segala peruntukkan yang telah disediakan tidak mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Akhirnya rakyat yang menjadi mangsa. Bagi mengatasi masalah ketirisan yang berlaku, adalah penting bagi pihak kerajaan untuk sentiasa memantau segala proses penyampaian peruntukkan serta memantau segala proses perlaksanaan infrastuktur yang ingin dilakukan kelak.
Sikap sambil lewa serta tidak ambil tahu tidak boleh lagi wujud dikalangan pegawai pelaksana dan penguatkuasa dalam memastikan setiap wang peruntukkan yang telah ditetapkan dibelanjakan mengikut dengan apa yang telah dirancangkan melalui bajet yang telah dibentangkan Jumaat yang lalu.
Mungkin sudah sampai masanya juga, pihak kerajaan memperimbangkan bagi mewujudkan sebuah unit atau agensi khusus bagi memastikan segala wang yang telah diperuntukkan melalui bajet dibelanjakan mengikut matlamat yang telah ditetapkan.
Sebarang kelemahan yang telah dikenalpastikan melalui laporan – laporan yang telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Audit Negara perlu diteliti serta tindakkan sewajarnya harus diambil supaya tiada lagi berlaku isu ketirisan atau pembaziran wang peruntukkan kerajaan.