Pegangan Awie, Wings

by Oh! Semput


2
SHARES
23
VIEWS
Posted on 23 Mar 2019 05:03:40

Sejak mula ditubuhkan pada 1985, Wings telah banyak melalui banyak fasa penting.

Jika Wings diandaikan dalam kudrat tubuh seorang manusia, pada usia 35 tahun, dia barangkali sedang menikmati fasa kematangan, diulit bahagia hidup berpasangan bersama keluarga serta kestabilan karier.

Apa yang tinggal adalah meneruskan empayar yang masih berdiri utuh walau cabaran datang silih berganti.

Semua itu diseiringkan dengan usia kedewasaan dan mahu melihat seni rock & roll yang dibekaskan ada kesinambungan buat generasi mendatang.

“Saya bersama kumpulan ini sejak usia belasan tahun. Kita bina nama sekarang dengan kudrat. Satu saya minta agar terus diberi kepercayaan dan sama-sama kita jayakan tahun mendatang buat Wings,” kata vokalis kumpulan itu, Datuk Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 50.

Sehubungan itu, Wings yang kini dianggotai oleh Awie, Eddie (bass), Sham (gitaris), Black (Ddram), dan Edrie Hashim (gitaris) bakal mengadakan sebuah persembahan yang diberi nama Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings X Bunkface. Konsert yang direncanakan pada 4 Mei depan, memilih Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sebagai gelanggang aksi.

Bercerita tentang pemilihan Bunkface, Awie berkata, persembahan pada malam tersebut akan dibahagikan sama rata antara dua kumpulan tersebut.

“Persembahan akan dibahagikan sama rata. Bukan battle (pertarungan) atas pentas. Bunkface bukan pembuka tirai sebaliknya akan beraksi selama satu jam, Wings pun sama.

“Ketika konsert itu nanti, kami akan berpadu untuk satu atau dua lagu. Mungkin satu lagu Bunkface dan satu lagu Wings,” kata pelantun lagu Taman Rashidah Utama itu kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya lagi, konsert itu dilangsungkan sebagai pengenalan kepada usia 35 tahun Wings tahun depan. Mengikut perancangan, Wings akan berkolaborasi dengan band-band lain untuk persembahan akan datang.

“Wings berminat untuk terus bekerjasama dengan band generasi baharu yang lain. Buat permulaan Bunkface. Mungkin selepas ini Kugiran Masdo dan Khalifah. Sudah ada dalam perbincangan dan hanya akan diuar-uarkan bila lebih terperinci waktu sesuai nanti,” katanya.

Jual tiket sendiri

Meneruskan bicara, Awie menjelaskan, tiket hanya akan dijual secara manual menerusi kelab peminat mereka, Sayap-Sayap Wings sebagai ejen yang dilantik.

“Wings pernah ditipu apabila persembahan dianjurkan penuh dengan penonton, tetapi ketika pengiraan dibuat, ejen memaklumkan hampir separuh tiket tidak terjual.

“Kejadian yang sama juga berlaku ketika menjayakan sebuah lagi konsert di ibu negara, beberapa tahun lalu. Kali ini, penganjur main tarik tali dalam soal bayaran dan memberikan pelbagai alasan.

“Hanya selepas diberi kata dua, tidak sampai seminggu, akhirnya baki bayaran dijelaskan. Itu belum termasuk ada yang mencetak tiket palsu dan menjual dengan harga yang lebih murah, berbanding tiket asal,” jelasnya yang menegaskan episod sama berulang.

Sebagai langkah berjaga-jaga, terang Awie, tiket konsert itu turut dilengkapi ciri keselamatan.

“Pembeli akan diberikan resit yang dilengkapi maklumat acara dan boleh ditebus di kaunter khas, empat hari sebelum konsert bermula. Penonton juga akan dibekalkan dengan gelang khas sebagai pas masuk,” katanya.

Kesihatan

Diajak mengulas tentang keadaan kesihatannya yang tidak berapa baik buat masa ini, Awie berkata, perkara itu tidak menjadi halangan untuk memberikan persembahan sehabis baik pada konsert nanti.

“Buat masa sekarang, saya menjaga segala macam perkara termasuk dari segi diet pemakanan dan senaman. Saya akan pastikan menjelang persembahan nanti, keadaan saya okey.

“Untuk itu, saya akan masuk semula ke gimnasium bukan untuk memiliki badan kekar atau apa tetapi hanya ingin mendapatkan kembali stamina demi konsert nanti,” jelasnya.

Sinonim dengan imej rockers berambut panjang, Awie ditanya tentang kesesuaian imej rambut pendeknya menjelang konsert kelak. Senyum sebelum menjawab, kata Awie: “Setahu saya yang headbanging tentang kepala bukan rambut (ketawa). Jadi, kita tunggu nanti macam mana.”

Enggan terlalu memperincikan keadaan kesihatannya, Awie hanya perlu banyak berehat dan memberi keutamaan terhadap kesihatannya.

“Saya tidak mahu orang bersimpati dengan keadaan saya. Keadaan sekarang okey. Tidak boleh kalau asyik telan pil tahan sakit, lama-lama nanti jahanam buah pinggang saya,” katanya.

Untuk rekod, sejak pulang daripada mengerjakan umrah hujung tahun lalu, dua kali Awie ditahan dalam wad Hospital Ampang Putri, Selangor.

Bersara

Disuakan pertanyaan, adakah kemungkinan dia ingin berehat daripada dunia seni bagi memberi fokus terhadap kesihatan, Awie berkata, perkara tersebut tidak akan berlaku.

“Jika saya bersara, saya mahu buat apa? Semakin saya layan penyakit ‘pelik’ yang dihadapi ini, makin tidak sihat dibuatkan. Nak makan, tanggung kehidupan semua macam pula.

“Kalau cakap soal berehat atau bersara, mungkin Wings ada masa sehingga 10 atau 15 tahun. Dalam tempoh itu, kami ingin memperbaiki diri daripada pelbagai segi.

“Selepas sudah capai apa yang dimahukan, kami akan duduk diam-diam dan berjanji tidak akan menyanyi lagi,” tuturnya.

Mengulas tentang kerjaya lakonan, Awie bakal terlibat dengan sebuah filem terbaharu. Masih pendedahan lanjut yang boleh dikongsikan, bagaimanapun kata Awie, naskhah tersebut akan menggunakan khidmat, Eric Ong yang sebelum ini pernah membikin Adiwiraku di kerusi pengarah.

“Sudah rasmi nanti saya kongsikan. Kalau tiada aral melintang, saya akan melakonkan karakter guru disiplin kepada pasukan kriket Malaysia yang membina nama di peringkat antarabangsa dalam naskhah tersebut,” tutupnya.

Belajar daripada pengalaman lalu, Wings mengambil keputusan nekad menjual sendiri tiket Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings X Bunkface secara manual bagi mengelak daripada ditipu pihak ketiga.

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts