Lima Pemain Muda Terpilih Menjalani Latihan Di Akademi Cerezo Osaka

by Oh! Semput


HOME Posted on 25 Jun 2019 16:04:52



Lima pemain muda berbakat daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bakal dihantar ke Jepun pada bulan Ogos depan untuk menjalani latihan dengan Akademi kelab J-League, Cerezo Osaka.

Mereka dipilih berdasarkan prestasi cemerlang sebagai lima pemain terbaik dalam program ‘Asean Dream Project’ yang dianjurkan oleh Cerezo Osaka, Yakult dan Stesen Televisyen Osaka.

Lima pemain tersebut ialah Muhammad Haikarl Raja Muhammad Zahari dan Muhammad Danial Haiqal Mohd Shaipol daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Muhamad Afiq Norizan daripada Sekolah Sukan Negeri Melaka, Muhammad Farizzudin Adham Batcha daripada Sekolah Sukan Negeri Selangor serta pelajar Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi, Anas Nadawi Shaharudin.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada gembira dengan pemilihan pemain tersebut dan berharap mereka dapat mengambil kesempatan ini untuk memikat barisan jurulatih kelab Cerezo Osaka.

“Jurulatih ini memuji bakat pemain remaja Malaysia. Fizikal pemain remaja Malaysia hampir sama dengan fizikal pemain remaja Jepun. Mereka hanya perlu belajar skil, teknik yang baru serta kerja berpasukan,” katanya.

“Kami berharap pemain yang terpilih mendapat peluang bermain di Liga Profesional Jepun selepas tamat program ini kerana perkara tersebut mampu menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

“Doa kami sentiasa mengiringi pemain yang terpilih agar mereka dapat mencapai cita-cita untuk menjadi pemain profesional pada masa hadapan,” jelasnya.

FOTO: TRWFC

Sementara itu, Presiden Cerezo Osaka Hiroaki Morishima berkata, program ‘Asean Dream Project’ bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan negara Asia Tenggara dengan lima pemain terbaik dari negara Malaysia, Thailand dan Myanmar akan dibawa menjalani latihan dengan akademi kelab itu.

“Ada permintaan daripada pemain Malaysia yang beraksi pada tahun lalu untuk program ini diadakan sekali lagi bagi memberi peluang kepada bakat muda untuk menimba pengalaman di akademi kelab profesional Jepun.

“Saya amat berharap agar pemain yang tamat menjalani program ini, akan dapat pergi lebih jauh. Mereka juga boleh beraksi di Liga Profesional Jepun, bukan sekadar di Cerezo Osaka sahaja memandangkan ada pencari bakat yang sering mencari bakat terbaik dari Malaysia,” katanya dalam Harian Metro

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...