by Oh! Semput

TAWAU: Seorang kontraktor mengalami detik cemas apabila kenderaan yang dipandunya dibaling dengan objek keras secara tiba-tiba, kira-kira jam 7 petang, Khamis.
Kejadian itu berlaku di Jalan Utara Baru berhampiran tapak pembinaan Taman Ria Heights di sini, semasa kontraktor terbabit memandu kenderaan pacuan empat rodanya.
Hassa Nuddin Soloji, 40, berkata selepas memeriksa di lokasi kejadian kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin, beliau menemui kira-kira 20 kayu beruti dan sejumlah batu bekas bahan binaan di sekitar lokasi terbabit.
“Saya percaya kesemua beruti dan batu-batu itu juga dibaling ke arah kenderaan yang lalu-lalang di lokasi kejadian dari atas bukit berhampiran,” katanya.
Hassa Nuddin berkata kejadian yang menimpanya juga bukan insiden pertama kali kerana ahli keluarganya juga pernah mengalami insiden serupa sebelum ini di lokasi sama.
Malah, menurutnya, semasa memberhentikan kenderaan untuk memeriksa kesan balingan objek keras itu, beliau turut dihampiri pemandu lain yang mengaku turut mengalami situasi serupa dengannya.
“Kejadian ini dikatakan sudah seringkali berlaku, dan benar-benar membimbangkan kerana pelbagai hal buruk termasuk kecelakaan jalan raya boleh berlaku.
“Kita berharap semua pemandu yang hendak melalui kawasan ini, menggunakan laluan alternatif di Kompleks Sukan Tawau untuk mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
Menurutnya, semasa kejadian beliau memandu kenderaannya ditemani adik ipar perempuannya berusia 23 tahun yang panik apabila bunyi hentakan kuat itu berlaku.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya sudah memaklumkan kes itu kepada pihak polis pada malam kejadian dan diberitahu bahawa polis akan memantau di lokasi berkenaan.
“Kita berharap polis mengambil tindakan segera dan jangan sampai terjadi kemalangan yang mengorbankan nyawa akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu.
“Saya tidak fikir orang yang membaling objek keras ini hendak bergurau dan khuatir mereka mungkin mempunyai maksud lain untuk merompak pengguna jalan,” katanya.
Akibat kejadian itu, Hassa Nuddin berkata beliau terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM1, 000 dan berharap insiden itu tidak berterusan berlaku.