by Oh! Semput
Seorang pemandu e-hailing ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam insiden memukul bekas isterinya di kawasan parkir awam berhampiran Balai Polis Bandar Baru Bangi, yang rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 2.51 petang semalam sebelum menjalankan siasatan lanjut.
Menurut beliau, polis turut mengesan satu rakaman video yang tersebar di platform media sosial dan dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan.
“Bertindak atas maklumat yang diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an pada jam 6.20 petang.
“Siasatan awal mendapati suspek merupakan bekas suami kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Bandar Baru Bangi bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.
Naazron berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan kronologi kejadian serta mendapatkan keterangan daripada pihak-pihak yang berkaitan.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Afiq Rifdi Mohd Ami di talian 011-29667474.
Kejadian itu mendapat perhatian ramai selepas rakaman video yang memaparkan seorang wanita dipercayai menjadi mangsa kekerasan tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna platform digital.
Polis menegaskan bahawa sebarang bentuk keganasan atau ugutan adalah kesalahan di sisi undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan.
Pemandu E-Hailing Ditahan Selepas Video Pukul Bekas Isteri Tular first appeared on #1 The News Malaysia.