Pembangkang dakwa menang Pilihan Raya Presiden Maldives

by Oh! Semput


2
SHARES
26
VIEWS
Posted on 23 Sep 2018 23:01:18

MALE (MALDIVES), 14 Muharram 1440H, Isnin – Gabungan empat parti pembangkang Maldives hari ini mengumumkan mereka menang Pilihan Raya Presiden, selepas 92 peratus undi dikira.

Calon presiden, Ibrahim Mohamed Solih dalam ucapan di televisyen mendakwa mencapai kemenangan dengan kelebihan 16 peratus undi daripada penyandang Abdulla Yameen.

“Kami memenangi pilihan raya ini dengan majoriti selesa. Saya menggesa Presiden Abdulla Yameen menghormati keputusan rakyat dan memulakan segera peralihan kuasa secara aman,” katanya.

Bagaimanapun, pegawai parti pemerintah, Ahmed Nihan berkata, sementara ianya terlalu awal untuk mengisytiharkan kemenangan, Parti Progresif Maldives tidak takut menerima segala keputusan rakyat, sama ada kalah atau menang.

“Kami telah membuktikan bahawa kami mampu melaksanakan pengundian secara teratur,” katanya sambil menambah dakwaan pembangkang bahawa mereka menang adalah tidak berasas.

Pilihan raya di kepulauan bermasalah semalam, diadakan selepas lima tahun Abdulla memegang tampuk pemerintahan, dalam keadaan di mana pembangkang dan pemantau hak asasi mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Maldives mempunyai 26 pulau batu karang berbentuk cincin dan 1,192 pulau, menjadikan pelancongan sebagai sumber ekonominya.

Akhbar bebas, Mihaaru, yang meletakkan wakil mereka di semua 472 pusat pengiraan undi di seluruh negara, juga melaporkan Ibrahim menang dengan 58 peratus undi.

Pemerhati antarabangsa tidak dibenarkan memantau pilihan raya itu, sementara hanya sedikit sahaja media global yang dibenar membuat liputan.

“Ini adalah saat kegembiraan. Ini adalah saat harapan. Ini adalah saat bersejarah. Kami akan mewujudkan masyarakat yang adil dan aman di Maldives. Saya akan menjadi presiden untuk semua rakyat,” kata Ibrahim.

Lebih 250,000 warga Maldives layak mengundi semalam. Pembuangan undi juga dilakukan di Kuala Lumpur dan Sri Lanka.

Walaupun, tiada jalan keluar bagi Abdulla kali ini, sesetengah penduduk bimbang presiden akan mengisytiharkan darurat sebagaimana yang dilakukan ketika membantah keputusan Mahkamah Agung negara itu yang mengarahkan anggota pembangkang yang dipenjara dibebaskan.

Ibrahim dan Abdullah masing-masing bukan sahaja mempunyai pandangan berbeza, malah kedua-duanya memandang ke India dan China sebagai sekutu.

China bimbang perubahan pemerintahan di Maldives akan menjejaskan kepentingannya dalam menjayakan laluan baharu perdagangan di Lautan Hindi. Beijing telah memberi pinjaman berbilion dolar bagi melaksanakan projeknya, termasuk pembinaan jambatan menghubungkan bandar Male ke lapangan terbang di Pulau Hulhule. – Agensi

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts