IJM Land: Pembeli cari rumah yang lebih besar, kawasan kurang padat

by Oh! Semput


HOME Posted on 18 Oct 2020 15:03:20



Pembeli rumah mencari persekitaran yang lebih seperti ruang lebih besar dan lokasi kurang padat. — Foto oleh Shafwan Zaidon
Pembeli rumah mencari persekitaran yang lebih seperti ruang lebih besar dan lokasi kurang padat. — Foto oleh Shafwan Zaidon

KUALA LUMPUR, 18 Okt — Walaupun pandemik Covid-19 terus menimbulkan pelbagai cabaran kepada banyak sektor termasuk hartanah, orang ramai masih perlu membeli rumah sebagai kediaman atau pelaburan jangka panjang.

Apabila ramai yang terpaksa bekerja dari rumah seperti senario hari ini, mereka perlu membuat pelarasan untuk menjadikan kediaman mereka sebagai ruang pejabat.

Menyedari bahawa keselesaan menjadi faktor utama untuk bekerja dan tinggal di rumah, pembeli mula mencari persekitaran yang lebih baik bagi diri mereka dan keluarga seperti ruang rumah yang lebih besar dan lokasi yang kurang padat.

Walaupun kebanyakan pembeli rumah mengamalkan pendekatan tunggu dan lihat pada masa-masa yang tidak menentu ini, keadaan ini mewujudkan peluang khusus bagi sesetengah pemaju untuk berkembang melalui penjenamaan yang kukuh.

Contok terbaik adalah projek kediaman Rimbun Jasmine di Seremban 2 (S2) oleh IJM Land Bhd di Negeri Sembilan yang habis terjual dalam tempoh tiga jam selepas diperkenalkan pada bulan lepas.

S2 merupakan pembangunan perbandaran utama IJM Land yang menawarkan kemudahan pusat membeli-belah, sekolah, hiburan dan banyak lagi, semuanya di sekitar bandar berkenaan.

Pengurus Besar Kanan IJM Land (Wilayah Tengah) Datuk Hoo Kim See berkata empat pemacu utama yang meyakinkan orang ramai untuk membeli unit-unit tersebut adalah nilai yang lebih baik, rumah dua tingkat yang luas berhampiran perbandaran S2, persekitaran yang tenang termasuk lokasi yang berdekatan dengan akses lebuh raya untuk ke bandar-bandar lain.

Lot-lot di situ berkeluasan 20 kaki x 70 kaki dengan binaan 1,932 kaki persegi dan dijual daripada RM542,800 (untuk bukan Bumiputera) dan daripada RM488,520 (bagi Bumiputera).

Unit dengan empat bilik tidur dan tiga bilik mandi tersebut boleh disusun bagi aktiviti harian yang berbeza seperti riadah, bekerja dan belajar, katanya.

“Secara demografi, penduduk Negeri Sembilan merangkumi 68 peratus pembeli, diikuti Selangor (12 peratus), Kuala Lumpur (lapan peratus), Melaka (empat peratus) dan Johor (tiga peratus), dengan negeri-negeri lain membentuk baki lima peratus lagi,” katanya kepada Bernama.  

Pembeli yang berminat dalam projek itu pula kebanyakan terdiri daripada mereka yang berusia 21 hingga 40 tahun, diikuti dengan usia 51 dan 56 tahun.

Kaum Cina membentuk 53.5 peratus pembeli, Melayu 30 peratus dan India 15.5 peratus.

Setakat ini, sejumlah 50 peratus pembeli telah menerima kelulusan pinjaman, manakala 30 peratus dalam proses mendapatkan kelulusan dan baki 20 peratus ditolak.

“Terdapat tiga sebab utama penolakan iaitu komitmen tinggi serta isu-isu terkait dengan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan Credit Tip-Off Service (CTOS).

“Untuk membantu bakal pembeli kami, S2 kini menawarkan penyelesaian iaitu pelan ansuran faedah sifar peratus untuk penyelesaian perbezaan jumlah serta memudahkan pelan pembayaran bulanan,” kata Hoo.

Beliau berkata IJM Land telah memperkenalkan kempen pemilikan fleksibel yang dipanggil “Now You Can”, dan pembeli rumah akan layak mendapat manfaat yang ditawarkan.

Pembeli rumah yang berpotensi juga akan dibentangkan dengan pelan serta penyelesaian yang disesuaikan bagi mengurangkan beban kewangan dan menyokong pelaburan mereka. 

CCRIS adalah sistem di bawah Biro Kredit Bank Negara Malaysia untuk menyediakan laporan kredit standard mengenai bakal peminjam, yang merupakan elemen penting bagi mendapatkan kelulusan pinjaman.

CTOS adalah agensi pelaporan kredit swasta terkemuka di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 yang digunakan secara meluas oleh institusi kewangan untuk menentukan kebolehan kredit pemohon selain daripada CCRIS.

Sementara itu, Hoo menjelaskan Rimbun Impian yang turut dilancarkan dalam kawasan Seremban 2 Heights, sama seperti Rimbun Jasmine, telah menikmati kadar ambilan sebanyak 75 peratus sejak dilancarkan pada Januari tahun ini.

“Kami kini merancang untuk melancarkan rumah berangkai satu tingkat dan dua tingkat yang luas pada harga berpatutan serta melalui skim yang mudah dimiliki pada suku keempat 2020 dan suku pertama 2021 untuk membolehkan semua orang mampu memiliki rumah,” katanya. — Bernama

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


loading...