by Oh! Semput
KUANTAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta dan aktivis belia, Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim, 66, yang muncul semula dalam arena politik selepas menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lalu tewas pada pemilihan parti bagi jawatan Ketua Cabang Bentong pada Sabtu.
Suhaimi merupakan seorang aktivis belia terkenal sejak awal 1990-an dan merupakan bekas Setiausaha Politik kepada dua orang menteri sebelum ini.
Beliau pernah dipilih sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia bermula pada 1994 hingga 1998.
Pada pemilihan PKR baru-baru ini, Suhaimi tewas dalam pertandingan tiga penjuru. Beliau mendapat 239 undi berbanding pencabarnya, Jeffry Nizam mendapat 285 undi untuk memenangi jawatan tersebut, manakala seorang lagi calon, Abdul Kadir Ali mendapat 238 undi.
Difahamkan Suhaimi juga telah dilantik sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Negeri sebelum ini. Dengan kekalahan ini, kemungkinan besar akan berlaku rombakan dan tempat beliau akan diambil alih oleh calon yang menang. #PahangDaily