by Oh! Semput
KUANTAN: Pemuda PAS Indera Mahkota (IM) meluluskan usul PAS bertanding di kerusi P082 Indera Mahkota mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, usul yang dibahaskan pada Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda PAS Indera Mahkota di sini itu turut mencadangkan Pengerusi PN Indera Mahkota yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Andansura Rabu sebagai calon.
Menurutnya, usul tersebut telah dibahas secara lumat semua perwakilan yang hadir dan diluluskan secara sebulat suara.
"Ironinya kerusi Indera Mahkota yang dahulunya kubu Barisan Nasional (BN) kini menjadi kerusi rebutan dalam tiga pilihanraya umum sebelum ini.
"Pada PRU15 lalu, ia menjadi milik PN yang ditandingi wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika itu , Datuk Seri Saifuddin Abdullah," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.
Ahmad Azlan berkata, hiruk pikuk politik kini menyaksikan pelbagai rencam politik yang membingungkan rakyat khususnnya di Indera Mahkota.
Katanya, atas rasa tanggungjawab dan setelah menilai beberapa faktor luaran dan dalaman, usul itu dibahaskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda PAS Indera Mahkota dan diluluskan secara sebulat suara.
Kerusi Indera Mahkota bakal menjadi kerusi panas apabila Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pahang Datuk Ahmad Farhan Fauzi sebelum ini menyatakan beliau diamanahkan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menawan kembali kerusi Parlimen Indera Mahkota pada pilihan raya umum akan datang.
Bersatu Pahang secara secara prinsipnya mempertahankan kerusi parlimen itu masih milik parti berkenaan selepas pemecatan Saifuddin dari parti berkenaan.
Sama ada Bersatu sedia atau tidak memberi laluan kepada PAS atau rakan gabungan dalam PN untuk bertanding di kerusi itu, Timbalan Pengerusi Bersatu Pahang, Datuk Jasri Jamaludin sebelum ini menjelaskan perkara itu masih belum dibincangkan secara terperinci. #Sinarharian