Pemuda UMNO Pahang Tegas Mempertahankan Hak Negeri Seperti Titah Tengku Mahkota Berkaitan Isu Kelulusan Eksport Pasir Oleh Kerajaan Persekutuan

by Oh! Semput


6
SHARES
76
VIEWS
Posted on 11 May 2026 16:31:56

PEKAN: Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang menyatakan sokongan penuh terhadap titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berhubung isu pengekangan kelulusan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap usaha kerajaan negeri menjana hasil melalui eksport pasir sungai.

Ketuanya, Mohd Kamil Ibrahim berkata, sokongan itu berasaskan prinsip bahawa hak negeri dalam mengurus serta memanfaatkan sumber asli sendiri tidak seharusnya dipinggirkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan semangat federalisme.

Menurut beliau, pengurusan serta pengeluaran pasir sungai bukan hanya berkaitan penjanaan ekonomi negeri, malah memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran sistem aliran sungai serta mitigasi risiko banjir.

“Usaha ini bukan semata-mata menjana ekonomi, malah merupakan suatu keperluan strategik dalam memastikan kelancaran sistem aliran sungai serta mitigasi risiko banjir yang saban tahun memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Justeru, tindakan menyekat usaha ini bukan sahaja menjejaskan potensi hasil negeri, bahkan boleh mengekang ikhtiar pencegahan bencana yang lebih tersusun dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Kamil berkata, Pahang sebagai negeri terbesar di Semenanjung Malaysia yang memiliki sumber semula jadi luas sewajarnya diberikan kepercayaan dan autonomi munasabah untuk mengurus sumber tersebut secara lestari dan berhemah.

Katanya, penafian terhadap ruang itu bukan sahaja bertentangan dengan semangat keadilan antara kerajaan pusat dan negeri, malah boleh menjejaskan keupayaan negeri dalam merancang pembangunan yang lebih mapan dan berdaya tahan.

Sehubungan itu, beliau menyeru Kerajaan Persekutuan supaya meneliti semula dasar sedia ada dengan pendekatan lebih inklusif dan seimbang demi memastikan kepentingan negeri tidak terabai.

“Hubungan antara kedua-dua entiti pentadbiran juga perlu kekal harmoni dan saling memperkukuh. Kami berharap segala perbezaan ini dapat diselesaikan secara bijaksana melalui saluran rundingan dengan meletakkan kepentingan rakyat dan kedaulatan negeri sebagai keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa Pahang sejak dahulu banyak menyumbang hasil dan tenaga demi pembangunan negara.

“Pahang sejak dulu tidak banyak bersuara, hanya menghulur hasil dan tenaga demi negara. Namun pengorbanan itu harus dipertimbangkan dengan adil agar negeri dapat mengurus amanah Allah dengan sebaiknya.

“Bukan meminta lebih, sekadar dihormati sebagai rakan dalam satu keluarga besar yang berpegang pada adab dan muafakat,” katanya. #MalaysiaGazette

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts