by Oh! Semput

Kiulu: Penat lelah ibu bapanya menoreh getah awal pagi tadi hilang sebaik anaknya, Eliss Elizze Lukas, 15, memaklumkan mendapat 10A dalam Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Stephens, di sini, hari ini.
Lukas Ransangan, 55, yang ditemui berkata, dia menghantar anaknya ke sekolah itu untuk mengambil keputusan PT3 selepas selesai menoreh bersama isterinya awal pagi tadi.
“Kebiasaannya, setiap hari kami mula menoreh pada jam 6 pagi dan selesai menoreh pada jam 10 pagi tetapi hari ini, saya bersama isteri mula menoreh pada jam 4 pagi dan selesai pada jam 8 pagi sebelum menemani Eliss ke sekolah mengambil keputusan PT3.
“Saya tidak menyangka Eliss mendapat keputusan A dalam setiap subjek yang diambilnya termasuklah Bahasa Kadazan Dusun,” katanya.
Menurutnya, sebaik melihat sendiri keputusan itu, Lukas terkejut dan segera menghubungi isterinya di rumah untuk memberitahu mengenai berita baik mereka.
“Walaupun belum mempunyai masa untuk berehat, saya gembira dan perasaan penat itu hilang serta-merta,” katanya.
Sementara itu, Eliss berhasrat mahu menjadi seorang doktor pakar bedah pada masa hadapan dan mahu berkhidmat di tanah air.
“Ini adalah hadiah kepada keluarga saya yang bertungkus-lumus membiayai perbelanjaan sekolah saya dan menghantar ke sekolah tiap hari,” katanya.