'Penawar' COVID-19 dijaja individu berpengaruh di Indonesia, kelirukan usaha bendung penularan

by Oh! Semput


HOME Posted on 02 Aug 2020 07:01:24



JAKARTA: Ia bermula dengan menteri pertanian Indonesia menggalak penduduk supaya memakai kalung yang mengandungi ramuan kayu putih (eucalyptus) untuk menyembuhkan COVID-19. Tidak mahu ketinggalan, gabenor Bali pula mempromosikan penawarnya sendiri: Menghirup wap dari rebusan arak tradisional yang dibuat daripada air kelapa.

Selain mereka, orang-orang berpengaruh dan mereka yang mendakwa diri sebagai pakar juga menguar-uarkan penawar sendiri serta maklumat tidak tepat di media sosial Indonesia, termasuk khabar angin yang tersebar luas bahawa termometer infra merah menyebabkan kerosakan otak.

Indonesia bukan satu-satunya negara yang berdepan dengan tugas berat untuk mengatasi maklumat tidak tepat atau pemimpin yang mempromosikan penawar yang tidak boleh dipercayai. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan penyebaran informasi palsu yang berbahaya itu sebagai "infodemik."

Di Kenya misalnya, gabenor Nairobi mengesyorkan cognac, iaitu sejenis wain sebagai penawar ajaib. Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pula terus mempromosikan hidroksiklorokuin, ubat yang digunakan untuk merawat malaria, sebagai rawatan bagi COVID-19 walaupun disangkal bukti perubatan. Beliau bahkan mencadangkan "suntikan" bahan pembasmi kuman seperti bahan peluntur "ke dalam tubuh manusia" dapat membantu menghapuskan jangkitan COVID-19.

Namun Indonesia unik kerana jumlah penduduknya yang besar, geografi yang luas merangkumi ribuan pulau dan kerencaman identiti budaya. Agak sukar bagi pemerintah untuk melaksanakan rancangan yang jelas dan bersepadu untuk menangani virus itu, dan kini ia dirumitkan lagi oleh penyebaran maklumat bercelaru dan seringkali berbahaya.

PEGAWAI PEMERINTAH, ARTIS JAJA MAKLUMAT PALSU

Salah seorang pegawai yang mempromosikan penawar yang disangsi keberkesanannya adalah menteri pertanian, Syahrul Yasin Limpo. Beliau berkata kepada wartawan pada Julai bahawa sebuah makmal di kementeriannya telah menghasilkan ramuan dari kayu putih yang apabila dipakai pada kalung dapat membunuh 80 peratus zarah virus dalam setengah jam.

"Dari 700 spesies kayu putih, hasil ujian makmal kami menunjukkan bahawa terdapat satu jenis yang boleh membunuh (virus) korona," katanya. "Kami pasti. Kami akan menghasilkannya bulan depan. "

Dakwaannya dengan pantas disangkal oleh pakar kesihatan, termasuk ketua makmal yang membangunkan ramuan itu sendiri. Menurutnya ia tidak berkesan terhadap virus korona. Namun kenyataan beliau itu tidak menghalang orang lain daripada menyebarkannya.

Seorang penyanyi popular, Iis Dahlia, bertemu dengan Presiden Joko Widodo sebagai sebahagian usaha ketua negara Indonesia itu untuk merekrut selebriti bagi membantu kempen kesihatannya.

Pada Julai, Presiden Jokowi menggelar kempen kebangsaan untuk menggalak amalan jarak selamat serta kerap cuci tangan dan pemakaian pelitup.

Namun, tidak lama kemudian, penyanyi itu memberitahu 12 juta pengikut Instagramnya bahawa beliau dengan bangga memakai kalung azimat itu.

"Kalung kayu putih ini," katanya, "membuat saya merasa selamat dan terlindung dari virus."

Di Bali, gabenornya, I Wayan Koster, mempromosikan rawatan tempatan: Menghirup wap arak rebus. Seolah-olah untuk mengikut trend, beliau juga mengesyorkan ditambah sedikit minyak kayu putih.

Gabenor itu, yang mempunyai Ph.D. dalam pendidikan dan menggelar dirinya sebagai bekas "penyelidik," dalam sidang akhbar minggu lalu berkata hampir 80 peratus mereka yang menghirup ramuan itu diuji negatif lebih pantas daripada yang dijangkakan.

Rawatan tersebut belum menjalani ujian saintifik, namun beliau berkata beliau berharap Bali dapat memfailkan paten dan menghasilkannya.

Jurucakap kanan pemerintah bagi krisis COVID-19, Wiku Adisasmito, menggesa orang ramai supaya mengikut garis panduan kesihatan dan tidak bergantung pada kepercayaan tahayul dan rawatan tidak disahkan, meskipun dianjurkan pegawai awam dan selebriti.

"Dalam masa-masa kecemasan, kita semua memerlukan fakta yang jujur, berdasarkan sains untuk memberi kita harapan, ketenangan dan maklumat jelas," kata profesor dasar kesihatan Universiti Indonesia.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- TODAY/NYT/TQ/tq

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


loading...