49,222 Pendatang Asing Tanpa Izin Ditahan Sejak Januari

by Oh! Semput


1
SHARES
15
VIEWS
Posted on 19 Dec 2016 10:00:51

KUALA LUMPUR – Seramai 49,222 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di seluruh negara sejak Januari lepas hingga semalam (18 Disember), sidang Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata bagi tempoh sama, seramai 169,712 orang PATI telah menyertai program Serah Diri Secara Sukarela untuk Kembali ke Negara Asal (Program 3+1).

“Untuk rekod, dalam program 3+1 yang bermula 22 Julai 2014 hingga semalam, seramai 452,779 orang PATI telah menyerah diri untuk pulang ke negara asal dan mereka akan disenaraihitamkan sebelum dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Rahimah Mahamad berkenaan statistik warga asing yang tidak mempunyai permit sah di negara ini serta langkah mengekang kemasukan PATI.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata sehingga 30 Nov lepas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merekodkan seramai 1,856,869 orang pekerja asing yang sah.

Tegasnya, kementerian melalui JIM telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan tiada lagi warga asing memasuki negara tanpa dokumen perjalanan yang sah termasuk proses tapisan awal melalui pengeluaran visa di kedutaan atau pejabat perwakilan Malaysia di luar negara.

Selain itu, jelasnya, sebagai tambahan, JIM turut menyemak data warga asing yang berisiko di pintu masuk negara dengan menggunakan Sistem Penguatkuasaan dan Pendaftaran Warga Asing (NERS) melalui proses pengecaman data biometrik pesalah imigresen yang telah direkodkan dalam senarai syak jabatan.

Nur Jazlan berkata NERS juga dapat mengenal pasti ketulenan identiti individu bersama dokumen yang digunakan berdasarkan semakan silang dengan maklumat biometrik dalam pangkalan data NERS yang dapat meningkatkan keberkesanan kawalan dan pemeriksaan masuk warga asing. – BERNAMA

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts