by Oh! Semput
KUANTAN: Pengamal media Pahang bakal menerima sumbangan berjumlah RM300,000 menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap peranan mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan itu sebahagian daripada peruntukan RM4.6 juta disediakan bagi menghargai sektor media, seni, kebudayaan dan warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti serta jati diri negeri.
"Selain sumbangan kepada pengamal media, sebanyak RM300,000 turut diperuntukkan bagi Program Karya Anak Pahang dan Dana Media Kreatif.
"Bagi mengembangkan seni dan warisan tempatan, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi Fiesta Tun Teja Aspirasi Anak Muda Pahang 1st dan masing-masing RM1 juta disediakan bagi Festival Bot Pahang 1st dan Program Future Leader Aspirasi Pahang 1st," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Wan Rosdy memberitahu, sebanyak RM15.18 juta turut diperuntukkan bagi program pengiktirafan, kebajikan dan pemerkasaan sosial untuk pelbagai lapisan masyarakat.
Jelas beliau, jumlah itu turut meliputi RM10.38 juta bagi Program Bakti Negeri Pahang 1st dan RM3 juta untuk Program Subsidi Pembelian Motosikal Tanpa Faedah Pahang 1st.
"Sebanyak RM1.1 juta bagi Program Sumbangan Topi Keledar Pahang 1st serta RM700,000 kepada Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang," jelasnya.
Beliau menambah, sebanyak RM5.25 juta pula disediakan bagi menghargai petugas dan rakan strategik.
"Peruntukan itu membabitkan RM2 juta masing-masing bagi Baucar Kumpulan Sokongan Pahang 1st dan Baucar Anggota Keselamatan Pahang 1st, RM800,000 untuk Program Apresiasi Pekerja Pembersihan Pahang 1st serta RM200,000 bagi Hari Koperasi Negeri Pahang dan Majlis Apresiasi Koperasi Pahang 1st.
"Selain itu, RM100,000 disalurkan kepada Drugs Intervention Community (DIC), manakala Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) masing-masing menerima RM75,000," katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy memberitahu, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.1 juta bagi memperkenalkan Inisiatif Bantuan Negeri Pahang Gig kepada pekerja ekonomi gig.
Menerusi inisiatif itu, katanya, sumbangan sekali bayar sebanyak RM300 diberikan kepada pekerja gig berdaftar dan mempunyai caruman aktif di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Kita mahu memastikan kemakmuran Pahang dapat dinikmati semua lapisan masyarakat dengan matlamat tiada rakyat yang terpinggir dan tiada golongan yang tertinggal dalam arus pembangunan negeri," tambah beliau. #SinarHarian