by Oh! Semput

SERAMAI 3,892,641 pengguna di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air esok, membabitkan 814 kawasan. – Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Seramai 3,892,641 pengguna di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air esok, membabitkan 814 kawasan.
Kawasan itu adalah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur membabitkan 707,759 akaun.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail, berkata gangguan itu bagi memberi laluan kerja penyelenggaraan sistem bekalan elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang Masuk Utama Bukit Badong, Hulu Selangor.
Beliau berkata, kerja henti tugas TNB akan bermula jam 8 pagi hingga 12 malam dan mengambil masa selama 16 jam.
“(Ia akan) menjejaskan operasi di loji-loji rawatan air utama Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60 peratus pengguna di Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Ridhuan berkata, bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja selesai dan loji rawatan air terbabit beroperasi semula.
“Pengguna dinasihati untuk menyimpan air mencukupi bagi tempoh gangguan bekalan air sementara ini,” katanya.
Category: Semasa