Pengguna eskuter mengaku salah sebabkan kematian wanita 64 tahun di Bedok

by Oh! Semput


HOME Posted on 04 May 2021 19:00:11



SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 22 tahun mengaku bersalah pada Selasa (5 Mei) kerana menyebabkan kematian seorang wanita berusia 64 tahun ketika menunggang alat mobiliti peribadinya (PMD).

Hung Kee Boon juga mengaku salah atas tuduhan menaiki PMD yang tidak patuh peraturan di laluan yang dikongsi.

Iklaan

Hung, seorang penduduk tetap Singapura, bertembung dengan Cik Ong Bee Eng ketika menunggang eskuternya di laluan berbasikal dekat Bedok North Street 3 pada 21 Sep 2019.

Mahkamah diberitahu bahawa Cik Ong - yang memakai baju berwarna terang dan seluar berwarna gelap - sedang berbasikal dekat sebuah kedai kopi di Blok 539 Bedok North Street 3 pada sekitar 10.23 malam pada hari kemalangan.

Basikalnya dipasang bakul di bahagian depan dan belakang tetapi tidak ada lampu depan, kata Timbalan Pendakwa Raya Dillon Kok.

Pada masa yang sama, Hung, yang merupakan warganegara Malaysia, menunggang eskuternya di sepanjang laluan berbasikal dalam perjalanan untuk bertemu rakannya.

Cik Ong sedang melintas laluan berbasikal ke lintasan zebra di seberang apabila bahagian depan eskuter Hung merempuh roda kanan depan basikalnya.

Rempuhan itu menyebabkan wanita tersebut terpelanting dari basikalnya ke laluan pejalan kaki bersebelahan, sementara Hung jatuh di atas rumput.

Pejalan kaki yang datang membantu Cik Ong mendapatinya mengalami pendarahan dari bahagian kepalanya, kata Encik Kok, sambil menambah wanita itu tidak sedarkan diri.

Sementara itu mahkamah diberitahu, Hung mengalami kecederaan tetapi dalam keadaan sedarkan diri.

Cik Ong dimasukkan ke Hospital Besar Changi, di mana dia didapati mengalami kecederaan teruk di muka dan beberapa kecederaan trauma termasuk trauma otak yang teruk. Terdapat juga keretakan tulang di pangkal tempurungnya, tulang bahu kiri dan tulang rusuk kiri.

Wanita itu akhirnya meninggal dunia pada 25 September 2019.

ESKUTER HARAM, 24KG LEBIH BERAT DARI HAD

Mahkamah diberitahu bahawa kenderaan Hung adalah eskuter Dualtron Ultra yang tidak berdaftar, yang dibeli oleh Hung pada 2018 dengan harga S$2,000 dari seorang penjual di pasar online Carousell.

Hung menyedari bahawa PMD itu, yang beratnya sekitar 44 kg dengan kelajuan sehingga 80km/j, "sangat tidak patuh" dengan peraturan ketika dia membelinya, hujah Encik Kok.

Di bawah Akta Mobiliti Aktif, peranti sedemikian tidak boleh melebihi berat 20kg dan mempunyai kelajuan tertinggi 25km/j.

Encik Kok bertegas bahawa Hung pasti sedar pada masa itu bahawa dia sedang memecut kerana alatnya dilengkapi dengan meter laju.

Terdapat juga jalur-jalur di laluan berbasikal - yang bertujuan untuk mengingatkan kepada penunggang basikal dan penunggang PMD bahawa mereka perlu mengurangkan kelajuan, katanya.

Menjadi tanggungjawab penunggang untuk mengurangkan risiko perlanggaran, kata Encik Kok, sambil menambah bahawa kecederaan parah Cik Ong menunjukkan impak daripada pelanggaran itu.

Pihak pendakwa juga berhujah bahawa tiada kecuaian daripada pihak mendiang yang menyumbang kepada kemalangan itu.

Walaupun Cik Ong tidak memasang lampu depan pada basikalnya, Encik Kok berhujah bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa perlanggaran itu dapat dielakkan sekiranya lampu sedemikian dipasang.

Memandangkan ini adalah kes pertama pengguna PMD yang menyebabkan kematian orang lain ketika menunggang perantinya, pihak pendakwa menuntut Hung mengenakan hukuman penjara tiga bulan, dengan sebab perlunya mencegah orang lain daripada menunggang secara cuai.

BAPA TERTUDUH BARU BUNUH DIRI

Sebagai hujah pembelaan, peguam Hung Kimberley Pah meminta mahkamah mempertimbangkan kesesuaian hukuman probesyen.

Cik Pah menarik perhatian kepada usia Hung dan menggambarkan anak guamnya sebagai "pesalah muda" yang akan meraih manfaat daripada proses pemulihan.

Beliau menambah bahawa Hung "leka dari segi mental" pada masa kejadian. Ayahnya ketika itu baru membunuh diri dan Hung terlibat dalam menyelesaikan pertikaian harta pusaka ayahnya.

Pihak pembelaan tidak setuju dengan pendapat pihak pendakwa bahawa ketiadaan lampu depan basikal Cik Ong tidak membawa kesan, kerana kejadian itu terjadi pada waktu malam dan wanita itu sedang keluar dari titik buta (blind spot) - terselindung di balik papan tanda bercahaya milik kedai kopi di situ.

Cik Pah berkata Hung menzahirkan rasa sesalnya yang mendalam atas kejadian itu dan sudah meminta izin untuk memberi penghormatan terakhir kepada keluarga Cik Ong. Dia juga menderita "trauma psikologi yang berat", katanya, sambil menambah bahwa Hung mengalami imbas balik yang kerap dan "perasaan bersalah yang luar biasa", dan sukar tidur.

Namun, pihak pendakwa berhujah bahawa banyak fikiran dan "waktu lewat" insiden tersebut tidak akan dianggap sebagai faktor pembelaan kemalangan jalan raya.

Hung sudah menunggang PMDnya sejak dibeli setahun sebelumnya dan "dengan sengaja melanggar peraturan" dengan melakukan demikian, tegas Encik Kok.

"Cakap mudahnya, ini adalah kecelakaan yang hanya menunggu masa untuk terjadi," katanya.

Hung akan dihadapkan lagi ke mahkamah pada 20 Mei untuk dijatuhkan hukuman.

- CNA/TQ/tq

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News