Penguatkuasaan aturan perjalanan rentas sempadan S'pura-M'sia 'keputusan tepat', kata Menteri Besar Johor

by Oh! Semput


2
SHARES
27
VIEWS
Posted on 22 Nov 2020 04:00:11

JOHOR BAHRU: Keputusan oleh pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia untuk sama-sama menguatkuasakan skim perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara - Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Aturan Perjalanan Berkala (PCA) - memang satu keputusan yang tepat, kata Menteri Besar Johor Hasni Mohammad.

Beliau juga menekankan bahawa aturan-aturan pada masa akan datang yang memudahkan perjalanan harian akan bergantung kepada tahap pematuhan protokol-protokol keselamatan.

Dalam satu wawancara eksklusif bersama Mediacorp pada Khamis (19 Nov), Encik Hasni turut menarik perhatian bahawa sejak PCA dan RGL dikuatkuasakan pada Ogos, jumlah warga Malaysia dan rakyat Singapura yang merentasi pusat-pusat pemeriksaan darat di Johor "meningkat dengan ketara sekali".

"Ia adalah satu keputusan yang tepat, dari sudut kerajaan, untuk membenarkan semula (menyambung) perjalanan secara bertahap-tahap. Dengan melihat perangkaan di bawah kategori RGL, kami mendapati ia membantu ramai peniaga dan individu korporat untuk meneruskan rutin mereka," katanya lagi.

"Dan bagi mereka yang memegang permit kerja, prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan bagi PCA, sesuai bagi mereka. Jadi saya rasa kita akan terus memperbaiki prosedur yang ditetapkan," tambah beliau.

Dalam wawancara itu, Encik Hasni juga meluahkan harapan agar skim-skim yang dikuatkuasakan sekarang akan membuka laluan kepada pembukaan semula sempadan sepenuhnya apabila penularan COVID-19 bertambah baik kelak.

Beliau turut menarik perhatian bahawa faktor-faktor seperti prosedur ujian dan proses pemeriksaan perlu diperhalusi sebelum Singapura dan Malaysia sama-sama yakin untuk membuka semula sempadan masing-masing kepada para pelawat.

JOHOR SARAN PROTOCOL BAGI SKIM PERJALANAN HARIAN YANG BARU

Dalam wawancara itu, Encik Hasni juga diminta memberikan komen tentang skim ketiga yang dilaporkan disarankan oleh kerajaan Johor - Aturan Perjalanan Harian (DCA).

Beliau menjelaskan bahawa skim yang disarankan itu akan membolehkan sehingga 30,000 pelawat setiap hari.

Bagi memudahkan pelaksanaan skim itu, beliau berkata kerajaan negeri misalnya akan mengeluarkan pas-pas perjalanan setiap 10 hari dan para pelawat boleh menggunakan pas tersebut untuk melakukan perjalanan rentas sempadan sekitar tiga kali sepanjang tempoh tersebut.

Selain itu, beliau berkata kerajaan Johor juga menyarankan penggunaan sembilan makmal bertauliah yang berupaya menjalankan ujian COVID-19 ke atas para pelawat dan akan menggesa para karyawan kesihatan tempatan untuk mempertingkatkan prosedur ujian dan pemeriksaan.


Ahli Parlimen Benut itu turut menjelaskan bahawa skim tersebut berguna bagi para pelajar dan juga warga Malaysia yang bekerja di Singapura, yang perlu melakukan perjalanan ulang-alik setiap hari.

"Buat masa ini, kita sudah melancarkan RGL dan PCA. Mungkin DCA adalah sesuatu yang kerajaan Johor tidak akan berhenti menggesa kerajaan persekutuan, supaya mereka akan melakarkan SOP bagi lebih banyak kategori pelawat pada masa akan datang," kata Encik Hasni.

"Kami sudah sarankan, kami juga telah mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mendapatkan kerajaan persekutuan dan juga Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura untuk berunding dan menilai saranan kami," tambah beliau.


Menteri Besar Johor itu juga berharap agar skim berkenaan akan mencergaskan semula ekonomi Johor, yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Sebelum sekatan-sekatan sempadan dikuatkuasakan pada Mac, sekitar 300,000 warga Malaysia melintasi Seberang Tambak setiap hari untuk bekerja di Singapura. Sekatan-sekatan yang dikuatkuasakan menyebabkan ramai warga Malaysia hilang mata pencarian.

Encik Hasni menambah bahawa beliau turut menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menerusi persidangan video semasa mesyuarat majlis keselamatan negara pada awal minggu ini, supaya menimbangkan saranan bagi DCA yang dikemukakan oleh kerajaan Johor.

"Saya mengambil kesempatan itu untuk menekankan kepada Perdana Menteri bahawa Johor memerlukan keputusan segera, keputusan awal, daripada kerajaan persekutuan. Perdana Menteri memberi jaminan kepada negeri Johor bahawa jawatankuasa khas itu akan membincangkan DCA. Kementerian Ehwal Luar akan turut terlibat dan menyelaraskan usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan DCA bagi para pelawat (apabila diluluskan kelak)," kata Encik Hasni.

Menteri Besar itu bagaimanapun akur bahawa terdapat faktor-faktor yang boleh mempengaruhi keputusan jawatankuasa tersebut seperti peningkatan jumlah kes COVID-19 di merata Malaysia baru-baru ini, dengan kemunculan kelompok-kelompok baru dilaporkan setiap hari.

Malaysia sedang bergelut untuk menangani gelombang ketiga pandemik COVID-19. Minggu ini, jumlah kes COVID-19 pada kebanyakan hari menjangkaui 1,000 kes. Kini terdapat lebih daripada 53,000 kes jangkitan COVID-19 di seluruh negara.

Pada Jumaat (20 Nov), pemerintah Singapura menyatakan bahawa ia akan menguatkuasakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di kemudahan-kemudahan khusus untuk semua pelawat yang memasuki Malaysia, termasuk mereka yang melakukan perjalanan di bawah RGL atau PCA.

Johor juga tidak terlepas daripada penularan COVID-19 sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada Khamis (19 Nov) dan Jumaat (20 Nov), dua kelompok baru dikesan di Johor - di Kiambang dan Makmur.

Sungguhpun demikian, Encik Hasni menegaskan dalam wawancara tersebut bahawa kes-kes positif COVID-19 di Johor tertumpu di kawasan-kawasan tertentu.

Pada Jumaat, kerajaan persekutuan mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan ditarik balik di empat negeri (Johor, Kedah, Melaka dan Terengganu), kecuali di beberapa daerah.

Dalam kenyataannya menyusuli pengumuman kerajaan persekutuan itu, Encik Hasni berkata beliau menyambut baik keputusan tersebut sambil mengatakan bahawa pengumuman itu satu perkembangan yang melegakan bagi para penduduk Johor.

Semasa wawancara bersama Mediacorp, Encik Hasni menekankan bahawa beliau yakin lonjakan pada kes-kes jangkitan COVID-19 baru-baru ini tidak akan menjejas penguatkuasaan DCA.

Beliau berkata walaupun ada kawasan-kawasan tertentu dengan jumlah kes positif COVID-19 yang lebih tinggi, beliau yakin kawasan-kawasan tersebut akan dapat dikawal dan diuruskan dengan cara yang berkesan kerana
ini telah dilakukan untuk kelompok-kelompok sebelumnya.

"Apa sahaja bantuan yang diperlukan telah dipenuhi, semua orang berpuas hati dan akhirnya dalam jangka masa yang singkat, kita berhasil kembali kepada PKPB," kata Encik Hasni.

"Saya rasa semua orang berpuas hati dengan SOP sekarang. Saya tidak nampak sebarang alasan untuk melengahkan pelaksanaan DCA," tambah beliau.
 

- CNA/AY/ay

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts