by Oh! Semput

KES jenayah rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan penjawat awam dilakukan saban tahun membabitkan jumlah wang yang sangat besar. – FOTO hiasan
KEMELUT memperlihatkan jenayah rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan penjawat awam mahupun swasta. Harapkan pagar, pagar makan padi. Individu yang menjadi harapan dan kepercayaan terbabit dalam jenayah itu. Kes ini meliputi perbuatan meminta dan menerima suapan, menawar dan memberi suapan, membuat tuntutan palsu dan menyalah guna kedudukan jawatan untuk kepentingan peribadi dan sebagainya.
Undang-undang memang wujud. Mereka yang tertangkap dibicarakan di mahkamah. Kes yang dibawa ke mahkamah, menunjukkan jenayah ini dilakukan saban tahun membabitkan jumlah wang yang sangat besar. Statistik tangkapan kesalahan rasuah sehingga September lalu mencatatkan 670 orang berbanding 841 orang pada 2015. Statistik pesalah rasuah sehingga September lalu pula mencatatkan 127 orang berbanding 157 orang untuk 2015.
Malaysia berada di tangga ke-54 daripada 168 negara yang dinilai berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2015, menyaksikan penurunan empat anak tangga berbanding tahun sebelumnya.
Al-Quran merakamkan Allah SWT Maha Berkuasa dan mentadbirkan sekalian alam. Manusia sebagai khalifah yang diamanahkan mengurus kehidupan di bumi. Al-Quran turut mengemukakan tanggungjawab mengurus, ciri-ciri pengurus dan pekerja yang baik, kejayaan pengurus dan pekerja beriman, kegagalan pengurus dan pekerja yang khianat, negara yang sejahtera dan keruntuhan negara serta bangsa kerana keburukan pemimpin dan rakyatnya, juga usaha membina negara dan kekuasaan dengan fungsi kerajaan menjalankan perkhidmatan.
Kuat, amanah jadi teras
Antaranya surah Yunus ayat 3 dan ayat 31, Surah al-Ra’d ayat 2, dan Surah Sajdah ayat 5. Teras kepada pengurusan adalah kuat dan amanah. Seseorang pengurus dibentuk, bukan dilahirkan. Mendasari dakwah Nabi Musa AS dengan prinsip al-qawiy (kuat) dan al-amin (amanah) dalam pekerjaan. Sirah Nabi Yusuf AS mengurus ekonomi dan perbendaharaan negara Mesir dengan kekuatan prinsip hafiz (jujur) dan alim (profesional).
Prinsip itu dipaparkan kisah kekaguman dua anak perempuan Nabi Syuaib AS terhadap Nabi Musa AS dalam membantu mereka mengambil air minuman untuk ternakan. Mereka terpegun dengan keterampilan Nabi Musa AS seorang pemuda yang kuat melaksanakan kerja dengan penuh rasa tanggungjawab, tekun serta akhlak terpuji tanpa mengambil kesempatan terhadap wanita yang lemah.
Allah SWT berfirman merakamkan prinsip al-qawiy (kekuatan) dan al-amin (amanah) yang bermaksud: “Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat (al-qawiy) lagi amanah (al-amin).” (Surah al-Qasas: 26)
Secara mudah, al-qawiy dalam konteks ini ialah mempunyai kekuatan dan kompetensi. Al-amin merujuk orang yang baik, beriman, amanah dan berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab. Allah SWT menegaskan ciri individu paling tepat diberikan tugas adalah individu yang memiliki kekuatan dan amanah.
Latar belakang kisah ayat ini menceritakan Nabi Musa AS bertemu dua anak Nabi Syuaib AS iaitu Ria dan Safura. Dalam keadaan letih, mereka menunggu untuk mengambil air dari telaga yang ditutup. Penutupnya sangat berat dan tidak mampu diangkat. Nabi Musa AS membantu mengangkat penutup air itu. Kedua-dua puteri Nabi Syuaib AS pulang dan menceritakan kekuatan Nabi Musa AS dan bantuan baginda.
Nabi Syuaib AS seterusnya menjemput Nabi Musa AS ke rumah. Dalam perjalanan, Nabi Musa AS berjalan di hadapan kerana menjaga pandangan walaupun tidak tahu arah ke rumah Nabi Syuaib AS. Mereka menunjukkan arah dengan mencampakkan batu atau kayu ke kiri atau ke kanan sebagai petunjuk. Inilah amanahnya Nabi Musa AS. Kedua-dua gadis itu mengesyorkan kepada ayah mereka mengambil Nabi Musa AS sebagai pekerja kerana keupayaan dan sifat baginda yang amanah.
Perkataan anak Nabi Syuaib AS ini diabadikan oleh Allah SWT dalam al-Quran iaitu al-qawiy dan al-amin. Dalam konteks kini, pekerja yang baik ialah kuat dalam erti kata mempunyai keupayaan dari segi mental dan fizikal, kelayakan, kemahiran, pengalaman, kesihatan, kecerdasan dan kesungguhan menjalankan tugas.
Ciri kedua ialah kebolehpercayaan atau beramanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Dalam konteks yang menyeluruh dari segi tugas dan kerja, al-qawiy dan al-amin disinonimkan dengan kompetensi, keupayaan, integriti, kebolehpercayaan serta amanah sebagai benteng perilaku negatif dalam kehidupan.
Perancangan teliti, bijaksana
Kisah Nabi Yusuf AS mempunyai kekuatan ilmu pengetahuan dan profesional dalam pengurusan harta, pendapatan serta sumber kekayaan negara. Selepas dilantik menjaga perbendaharaan negara Mesir ketika itu, Nabi Yusuf AS segera menyiapkan bekalan dan mengambil tindakan yang terancang bagi menangani musim kemarau serta kebuluran yang akan melanda. Rakyat Mesir digesa menanam gandum selama tujuh tahun berturut-turut.
Inilah perancangan yang teliti dan penuh bijaksana serta perubahan gaya hidup yang dijadikan teladan dalam mengatasi kesulitan hidup, terutama berkaitan dengan pengurusan pendapatan dan kewangan.
Setiap individu semestinya kuat, amanah, jujur dan profesional dalam pekerjaan. Pekerjaan adalah ibadah. Perkhidmatan yang ditawarkan akan menambahkan lagi amal kebajikan dan pahala, bukan sekadar mencapai matlamat diri dan organisasi. Pekerjaan platform mencapai kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat.
Setiap individu tidak patut tamak mengejar kekayaan, lebih baik berasa cukup atau berpada dengan rezeki yang diperoleh. Setiap perlakuan dilihat oleh Allah SWT, dicatat malaikat dan mendapat pembalasan sewajarnya. Inilah penanda aras penjawat awam serta swasta yang ikhlas berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara.
Category: Kolumnis