by Oh! Semput
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menggesa agar isu berkaitan penternakan khinzir di Selangor segera dihentikan susulan titah Tunku Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan perkara itu dilakukan di negeri tersebut.
Dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial, Akmal menegaskan bahawa titah Sultan Selangor bukanlah cadangan politik tetapi pendirian tegas sebagai seorang pemerintah demi menjaga keharmonian rakyatnya.
Beliau juga menggesa agar pihak-pihak bertanggungjawab untuk berhenti berdalih demi menjaga kepentingan politik sehingga boleh mencabar institusi Raja secara terbuka.
Akmal turut menambah supaya tidak menyempitkan isu terbabit dengan mengaitkan sentimen 3R kerana ia jelas melibatkan tentang alam sekitar serta kepentingan ekonomi negeri.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta agar semua pihak berhenti daripada polemik ini dan hormati titah Sultan Selangor agar rakyat tidak memandang negatif dengan apa yang terjadi ketika ini.
Terdahulu, Sultan Selangor dalam titahnya menyatakan pendirian bahawa tidak berkenaan sebarang penternakan khinzir dijalankan di mana-mana kawasan di negeri Selangor.
Baginda bertitah keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran tanah, udara serta risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
: Facebook Akmal Saleh