by Oh! Semput
Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim tampil memberi jawapan pedas selepas seorang pengguna media sosial mempersoalkan kemampuan kelab itu menghantarnya mendapatkan rawatan di luar negara.
Faisal atau lebih mesra disapa Mickey berkata, bukan semua masalah kesihatan memerlukan rawatan di luar negara, sebelum menyindir individu yang gemar mencari kesalahan orang lain.
“Awak ingat kelab saya tak mampu berubat saya ke? Tak semua sakit perlu berubat di luar negara. Berubat di luar negara itu sekiranya kita tak mampu buat atau kita tiada mesin yang terbaik.
“Ada satu penyakit saja yang tak boleh berubat di dalam negara atau di luar negara. Penyakit itu adalah busuk hati dan sentiasa nampak orang lain tak betul. Yang ini memang tak boleh nak berubat dah,” katanya menerusi ruangan komen di media sosial.
Kenyataan itu dibuat selepas seorang pengguna mempersoalkan mengapa Selangor FC yang dianggap sebagai kelab kaya tidak menghantar Faisal mendapatkan rawatan di luar negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Faisal turut berkongsi mesej semangat menerusi media sosial ketika menjalani latihan di gimnasium.

“Halangan hanyalah sebahagian daripada perjalanan! Fokus sepenuhnya kini adalah untuk kembali bangkit,” tulisnya.
Untuk rekod, Faisal mengalami kecederaan ketika mewakili Harimau Malaya menentang Indonesia dalam aksi Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 pada 27 September lalu.
Kecederaan tersebut membabitkan tendon dan otot betis kanannya sehingga memaksanya terlepas baki kempen kejohanan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon sebelum ini memaklumkan pemulihan Faisal menunjukkan perkembangan positif, namun pemain itu mengalami koyakan otot yang agak teruk dan memerlukan tempoh pemulihan sekitar dua hingga tiga bulan.
Januari depan dianggap tempoh paling selamat untuk Faisal kembali beraksi secara kompetitif.
“Penyakit Busuk Hati Tak Boleh Berubat” – Faisal Halim first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.