Penyanyi lelaki menang RM100k dalam program nyanyian tapi nafkah anak buat senyap

by Oh! Semput


20
SHARES
265
VIEWS
Posted on 07 Feb 2023 15:00:48

 


"Orang boleh kecam saya, tuduh saya macam-macam. Tetapi jika mereka berada di tempat saya, mungkin mereka faham keperitan yang terpaksa saya tanggung selama ini."


Itu luahan Zurini Hasbullah, bekas isteri seorang penyanyi yang kini terpaksa membesarkan tiga anak mereka bersendirian selepas diabaikan suaminya itu sejak beberapa tahun lalu.


Lebih memeritkan katanya, dua daripada anak lelakinya yang berusia 14 dan 11 tahun disahkan mengidap autisme dan disleksia.


Anak perempuan bongsu yang berusia lapan tahun pula turut menunjukkan tanda-tanda penyakit itu dan kini masih dalam pemerhatian pakar.


Menurut bekas pramugari berusia 43 tahun itu, beliau meluahkan kepayahan hidupnya di media sosial khususnya aplikasi Tik Tok bukannya untuk meraih simpati tetapi bagi menyedarkan bekas suaminya tentang tanggungjawab terhadap tiga anak mereka itu.


"Jujur saya katakan, sejak kami mendirikan rumah tangga di Kuala Lumpur pada 2009, segala perbelanjaan saya tanggung kerana suami tiada pekerjaan tetap.


"Kami sah bercerai pada 2019, itu pun selepas saya sendirian turun naik mahkamah di Kuching berkali-kali untuk menuntut fasakh selepas suami gagal dikesan untuk tempoh yang lama," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Matang Jaya, hari ini.

Zurini berkata, bekas suaminya yang berasal dari Kuala Lumpur itu 'muncul' semula apabila dia menyertai pertandingan hiburan di sebuah stesen televisyen pada tahun 2020 dan menjuarai pertandingan itu sekali gus meraih hadiah wang tunai RM100,000.


Menurut Zurini, beliau menjadi perhatian warganet selepas meluahkan segala kepayahan yang dilaluinya itu menerusi TikTok, kebetulan pula selepas bekas suaminya memenangi satu pertandingan itu.



"Ada warganet yang tidak mengenali saya pun malah tidak tahu cerita sebenar, tiba-tiba menuduh saya sebagai 'gold digger', mengambil kesempatan atas kemenangan dialah dan macam-macam lagi.


"Apa yang saya lakukan ialah untuk menuntut supaya bekas suami menyedari tanggungjawab dia untuk memberi nafkah kepada anak-anaknya yang semakin membesar..., itu sahaja," katanya.


Menurutnya, bagi menampung kehidupan bersama tiga anaknya, beliau kini bergantung kepada pendapatan menjual kraftangan iaitu beg kait yang dihasilkannya sendiri.


Selain itu, tiga anaknya turut mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) serta bantuan daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang diterima setiap tiga bulan sekali.


"Malah ada juga kawan-kawan lama di Kuala Lumpur dan Singapura menghulurkan wang bagi meringankan beban yang terpaksa saya tanggung kini.


"Ia termasuk perbelanjaan bagi menyelenggara kereta Perodua Kancil usang yang saya gunakan untuk menghantar anak-anak ke sekolah, bayar bil, sewa rumah, kos perubatan kerana kesihatan saya selalu terganggu," katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Zurini sempat berpesan kepada bekas suaminya agar menyedari tanggungjawabnya sebagai bapa kepada tiga anak istimewa itu.


"Selagi ada peluang untuk berubah ke arah kebaikan, berubahlah sebab kita tidak selamanya muda.



"Berubahlah segera sebelum ajal menjemput, sebelum kita kehilangan masa dan kehilangan kasih sayang anak-anak," katanya.


Menurutnya lagi, ketika mula-mula meluahkan keperitan hidup yang dilalui di aplikasi TikTok, beliau memang amat memerlukan sokongan bekas suami untuk memberi nafkah kepada anak-anak kerana sebab ketika itu dia sakit.


"Saya memang terlantar sakit ketika itu, tambahan pula, sudah berbelas tahun saya menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak dia.


"Saya hanya mengharapkan pertolongan dia untuk anak-anaknya, bukan untuk saya. Dia tidak ingat saya pun tak apa, tetapi janganlah dia melupakan tiga anaknya ini," kata bekas Pramugari Penerbangan Malaysia dan AirAsia itu.


: Berita Harian


SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts