Tiga Penyelaras DUN Di Parlimen Paya Besar Buat Laporan Polis Terhadap Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Salman Al Farisi

by Oh! Semput


7
SHARES
90
VIEWS
Posted on 17 Apr 2026 13:32:27

KUANTAN: Tiga penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Paya Besar tampil membuat laporan polis terhadap Ketua Penerangan Pemuda PAS Maran, Muhammad Salman Al Farisi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.

Mereka merupakan Penyelaras DUN Lepar, Mustaqim Zakaria; Penyelaras DUN Sungai Lembing, Datuk Safariah Awang Ngah dan Penyelaras DUN Panching, Hasrul Hafizan Mohd Din.

Ia susulan satu hantaran di laman sosial Facebook Muhammad Salman hujung minggu lalu berkaitan pengumuman dibuat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Muhammad Salman dalam hantaran itu mendakwa pengumuman Wan Rosdy berkaitan peruntukan RM15,000 seminggu untuk membantu rakyat sebagai satu tindakan ‘merompak’ hasil pendapatan kerajaan negeri.

Mustaqim berkata, tindakan pemimpin muda dari Pas itu sangat mengecewakan dan berniat untuk mengelirukan rakyat.

“Ketika rakyat berdepan dengan tekanan kos sara hidup susulan konflik di Asia Barat, sepatutnya inisiatif kerajaan Pahang ini diberi sokongan.

“Namun, dia memilih untuk mempolitikkan perkara ini hingga menimbulkan persepsi kurang tepat dan mengelirukan,” katanya.

Dia juga berharap agar pemimpin Pemuda PAS Maran itu menilai semula pengumuman dibuat Wan Rosdy dan tidak terlalu cepat membuat kesimpulan.

Katanya, sebagai penyelaras DUN, mereka tertakluk kepada Pekeliling Perbendaharaan Negeri Pahang dan tidak boleh menggunakan peruntukan sesuka hati.

“Mungkin dia ingat duit (peruntukan) itu diberikan secara terus kepada Penyelaras DUN dan dia keliru atau tidak faham mengenai proses perlu dilalui dalam memberikan bantuan kepada rakyat yang terkesan.

“Setiap peruntukan diterima mempunyai prosedur yang tertentu dan ia bukanlah bermakna kita berikan bantuan dalam bentuk kewangan.

“Perkara ini sebenarnya sudah dijelaskan Datuk Seri Menteri Besar. Bentuk bantuan adalah barangan keperluan asas dan ia akan diagihkan berdasarkan maklumat yang setiap pejabat Penyelaras DUN miliki,” jelasnya.

Mustaqim dalam masa sama menasihati pemimpin pembangkang, terutamanya pimpinan muda PAS, supaya lebih cermat dan berhati-hati sebelum melemparkan tuduhan.

Katanya, sebagai orang Islam, adalah menjadi tanggungjawab untuk pimpinan PAS di Pahang untuk menyemak terlebih dahulu fakta dan mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan negeri supaya memahami hasrat sebenar setiap bantuan itu diperkenalkan.

“Saya harap perkara ini menjadi pengajaran berguna kepada dia dan juga pemimpin pembangkang yang lain,” katanya lagi. #MalaysiaGazette

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts