by Oh! Semput
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan 2018 akan menjadi tahun persiapan bagi negara ini memperingati 200 Tahun Singapura diasaskan.
Sambutan bagi ulang tahun sempena kedatangan Raffles pada 1819 itu, akan dilancarkan secara rasmi pada tahun 2019.
PM Lee berkata sambutannya merupakan satu peristiwa penting bagi Singapura dan membolehkan rakyat mencerminkan perjalanan negara – bagaimana ia dibentuk, sejauh mana kemajuan dicapai, serta bagaimana rakyat dapat terus maju bersama.
Untuk tujuan itu, Pejabat 200 Tahun Singapura sudahpun ditubuhkan sejak bulan Oktober.
Ia diselia oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Josephine Teo dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Desmond Lee, sementara Menteri Kewangan Heng Swee Keat bertindak selaku Penasihatnya.
Tahun 1819 merupakan titik tolak penting dalam perjalanan yang merubah Singapura menjadi negara moden, sehingga membentuk Singapura hari ini.
Namun, lebih menarik lagi, Pejabat baru ini menekankan perlunya negara menyingkap sejarah 500 tahun sebelum itu – yakni sejak tahun 1299, apabila Sang Nila Utama pertama mendarat di sini.
Bermakna, menyingkap 700 tahun sejarah Singapura demi membolehkan rakyat menghargai konteks evolusi negara.
"Kami akan menjalankan siasatan ke atas sejarah lebih 700 tahun. Ini menerusi projek seperti menggunakan berbilang media dan juga sekolah, bekerjasama dengan kaum-kaum untuk mengkaji sejarah masyarakat mereka, budaya, tempat dan membongkar semua kisah sejauh 1819 dan sebelum itu, supaya dapat mereka produk-produk yang merentasi sempadan, bangsa dan masyarakat," kata Pengarah Eksekutif Pejabat 200 Tahun Singapura, Gene Tan.
Salah seorang anggota Panel Penasihat kepada Pejabat tersebut, Encik Yatiman Yusof menambah, dalam mengenang semula sejarah Singapura sepanjang 700 tahun itu, "amatlah penting" untuk mengetahui pelbagai peristiwa penting dan tokoh-tokoh penting yang membentuk dan membangun Singapura.
Nama-nama mereka kata beliau, perlu dikekalkan.
"Kalau kita mulakan mengenal sejarah kita 700 tahun dahulu, kita mahu nama Sang Nila Utama sebagai pengasas Singapura yang pertama, (tahun) 1299, dikekalkan sebagai milik sejarah kita, sebagai sebahagian daripada warisan kita. Amatlah sedih kalau nama Sang Nila Utama itu hanya dikekalkan di sebuah tadika di Tampines oleh Taman Bacaan, ataupun sebuah gerai jual air di Geylang Serai," kata Encik Yatiman.
Selain mengenang ikon-ikon sejarah, banyak yang dapat dibanggakan masyarakat Melayu khususnya, bila menyusur 200 Tahun Singapura. Sebagai contoh, kedudukannya sebagai hab haji, hab pencetakan, persuratkhabaran, filem dan sebagainya.
Maka itu, Encik Yatiman menekankan pentingnya badan-badan Melayu/Islam tempatan tampil demi mengabadikan sumbangan mereka sebelum merdeka, dalam lipatan sejarah negara. Ini akan membantu merealisasi cogan kata “Dariku Singapura, UntukMu” sempena memperingati 200 Tahun Singapura.
Pejabat 200 Tahun Singapura akur, kedua-dua sejarah hitam dan pencapaian perlu seimbang dan diketengahkan dalam peringatan 200 Tahun Negara, demi membolehkan pemahaman rakyat terhadap sejarah negara yang lebih panjang.
Pada tahun peringatannya - 2019 nanti, akan berlangsung siri kegiatan bagi merenung sejarah negara yang lebih panjang - antaranya dengan memanfaatkan acara-acara sedia ada - seperti Perbarisan Hari Kebangsaan dan Pertunjukan Cahaya di Marina Bay.
Antara inisiatif lain yang akan dijalankan termasuklah melakukan pendokumentasian.
"Saya ingat pada masa saya di sekolah rendah dahulu, kita tidak mempelajari sejarah Singapura. Sebaliknya kita mempelajari sejarah Eropah dan Rusia misalnya. Jadi saya sebagai seorang sukarelawan bagi Peringatan 200 Tahun Singapura ini, saya harap akan dapat membantu untuk menambahkan lagi dokumentasi melalui temuramah dan kajian yang akan saya lakukan," menurut Cik Zahrah Aljunied, sukarelawan Pejabat 200 Tahun Singapura.
Usaha peringatan ini juga diakui Pejabat 200 Tahun Singapura sebagai mungkin menulis-semula buku-buku sejarah negara.
Selain Encik Yatiman, tiga lagi wakil masyarakat Melayu dalam Panel Penasihat bagi Pejabat 200 Tahun Singapura seramai 16 anggota, adalah CEO Yayasan MENDAKI, Cik Rahayu Mahzam, Penolong Profesor Jabatan Seni Bina NUS, Dr Imran Tajudeen dan Pengetua Sekolah Rendah Princess Elizabeth, Cik Moliah Hashim.