Pokok Bunga Kertas: Spesies, Ciri-ciri dan Kegunaan

by Oh! Semput


HOME Posted on 08 Apr 2021 16:00:09



Pokok bunga kertas berasal dari Amerika Selatan dan menjadi sangat popular di Malaysia sebagai tanaman hiasan laman. Bagaimanakah cara menanam pokok bunga ini dengan betul dan apakah kelebihannya? Jom kita mendalami dengan lebih lanjut berkaitan tanaman ini.

Spesies

Pokok bunga kertas diberi nama tersebut kerana bunganya yang nipis dan seperti kertas. Nama saintifik tumbuhan ini ialah Bougainvillea spp. yang dinamakan sempena seorang Komander Laut Perancis iaitu Louis-Antoine de Bougainvillae. Tumbuhan ini tergolong dalam famili Nyctaginaceae. Di Malaysia, terdapat tiga spesies utama iaitu B. spectabilis, B. glabra dan B. Mrs. Butt.

Ciri-ciri

Tumbuhan ini mempunyai bunga berwarna-warni yang cantik dan menjadi tumbuhan kegemaran sebagai tanaman hiasan. Bunga kertas mempunyai warna yang pelbagai iaitu warna merah, jingga, putih, merah jambu dan kuning. Tumbuhan ini tumbuh sebagai pokok renek dan mampu mencapai ketinggian sehingga 12.2 meter. Ia mempunyai daun berbentuk hati dan dahan berduri.

Bunga lazimnya bersaiz kecil, licin dan nipis. Biji benih kebiasaannya bersaiz kecil dan berwarna perang hingga perang gelap. Selalunya, pekebun akan menggunakan batang atau dahan tetapi ada juga yang menanamnya melalui biji benih.

Penanaman

Pokok bunga kertas mudah dijaga, tahan lama dan mempunyai keunikannya yang tersendiri. Tumbuhan ini mampu bertahan sehingga lebih 20 tahun. Ia dibiakkan melalui keratan batang, cantuman dan tut. Pokok bunga kertas merupakan pokok berkayu yang memanjat dan menjalar.  

Ia juga boleh dikacukkan bagi menghasilkan dahan yang pelbagai dan bunga yang berlainan warna. Tumbuhan ini memerlukan medium tanah jenis campuran tanah bakar, baja organik dan pasir sungai. Ia bertujuan untuk membuatkan tanah menjadi lebih poros agar air senang mengalir serta mengelakkan air bertakung.

Sebelum memasukkan tanah campuran, letakkan serpihan pasu atau bata bagi menutup sebahagian daripada lubang pasu. Kemudian, masukkan baja organik atau tahi ayam yang telah diproses setebal 2 inci untuk menjadikan tumbuhan lebih sihat.

Tanah juga perlu digemburkan supaya ia mendapat pengudaraan yang baik. Dahan dan ranting yang mati perlu dipangkas agar pucuk dan bunga baru dapat tumbuh dengan baik. Pokok bunga kertas perlu dibaja dua minggu sekali dengan baja organik sebulan sekali yang mengandungi kandungan kalium. Akhir sekali, tumbuhan ini perlu sentiasa berada di bawah cahaya matahari dan tidak lembap atau terlindung bagi mengelakkan jangkitan bakteria.

Kegunaan

Pokok bunga kertas bukan saja dijadikan tanaman hiasan, ia juga mempunyai khasiat uniknya dalam perubatan herba tradisional.

1. Anti-penuaan

Mengikut kajian oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), terdapat bahan antioksidan pada pokok bunga kertas. Antoksidan daripada tumbuhan adalah lebih selamat dan tidak mendatangkan kesan sampingan berbanding antioksidan sintetik. Ia membantu melambatkan proses penuaan dan kekal awet muda.

2. Merawat luka

Daun pokok bunga kertas boleh ditumbuk halus dan dilumatkan serta ditampal pada tempat luka. Ia membantu mengeringkan darah dan merawat luka. Luka besar ataupun kecil, jika tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan jangkitan kuman.

3. Penawar batuk

Batuk adalah runtunan pengecutan rongga toraks yang berlaku secara tiba-tiba. Batuk merupakan refleks biasa yang bertujuan untuk melindungi dan membersihkan lubang pernafasan. Air rebusan bunga kertas boleh direbus dan diminum. Ia dipercayai dapat melegakan batuk dan juga kahak.

4. Merawat demam panas

Apabila suhu badan melebihi suhu normal, itu tandanya seseorang sedang mengalami demam panas. Peningkatan suhu badan menyebabkan badan meningkatkan suhu melalui pergerakan otot seperti menggigil. Akar pokok bunga kertas boleh direbus dan diminum sebagai penawar demam panas. Ia membantu merendahkan suhu dan memberi keselesaan yang berpanjangan.

5. Mengatasi masalah pencernaan

Bunga kertas mampu mengatasi masalah pencernaan seperti perut kembung atau cirit birit. Mengamalkan air rebusan bunga kertas dapat melegakan usus dan perut. Caranya ialah merebus beberapa daun bunga kertas bersama 3 gelas air. Kemudian, tunggu ianya mendidih sehingga berbaki setengah gelas sahaja. Setelah itu, boleh dicampurkan dengan madu bagi memberikan kesan yang maksimum.

6. Penghias landskap

Pokok bunga kertas sering ditanam sebagai tumbuhan hiasan bagi tujuan landskap taman ataupun kawasan halaman rumah. Ia mempunyai bunga berwarna warni yang akan berkembang sepanjang tahun.

Ekonomi

Lazimnya, pokok bunga kertas digunakan sebagai penghias laman. Majlis perbandaran juga menggunakan tumbuhan tersebut bagi mencantikkan dan mengindahkan lagi landskap.  Pokok bunga kertas juga laris dijual ketika musim panas kerana ia akan hidup lebih subur dan mekar.

Tumbuhan ini sesuai ditanam ketika cuaca panas bagi mempercepatkan pertumbuhannya termasuk proses berbunga dan pengeluaran tunas baharu. Bunga yang dihasilkan ketika cuaca panas lebih cantik dan berkualiti tinggi. Harga bagi sepokok bunga kertas ialah RM8 dan ia mampu mencecah RM15 ketika cuaca panas.

Namun, harga akan sentiasa berubah bergantung kepada tahap permintaannya kerana agak sukar mendapatkan stok daripada pembekal.

Rujukan

  1. Aan. 2019. 8 cara ini boleh buat bunga kertas anda mabuk bunga. Retrieved from Impiana.
  2. Adry. 2012. Bougainvillea @ bunga kertas. Retrieved from Dedaun Alam.
  3. Anon. 2013. Keistimewaan pokok bunga kertas. Retrieved from Booksie.
  4. Bougainvillea. 2021. Retrieved from Wikipedia.
  5. Bunga kertas. 2020. Retrieved from Wikipedia.
  6. Jamilah, H. 2019. Bunga kertas laris ketika cuaca panas. Retrieved from Sintoknews.
  7. Mohd Zin, A. 2015. Bunga kertas lewatkan proses penuaan. Retrieved from Berita Harian.

Pokok Bunga Kertas: Spesies, Ciri-ciri dan Kegunaan Root of Science.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News