by Oh! Semput
Polis sedang mengesan seorang pemandu e-hailing bagi membantu siasatan berhubung penularan sebuah video yang didakwa memaparkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap agama Islam dalam satu kejadian yang dipercayai berlaku di sekitar Bandaraya Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima satu laporan daripada seorang pegawai polis pada jam 3.25 petang, 31 Julai, selepas mengesan hantaran di media sosial yang mengandungi kandungan menyentuh sensitiviti agama.
Menurut beliau, laporan itu dibuat susulan penemuan rakaman video yang dimuat naik kira-kira jam 2.30 petang pada hari sama, dipercayai mengandungi kenyataan yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati serta mencemarkan kesucian agama Islam.
Siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada 30 Julai sekitar jam 5.55 petang berdasarkan rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan e-hailing. Rakaman tersebut memaparkan perbualan antara seorang lelaki yang dipercayai pemandu e-hailing dengan seorang lagi lelaki yang disyaki penumpang.
Polis percaya individu yang merupakan penumpang e-hailing itu telah mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Islam serta menyentuh kandungan al-Quran. Sehubungan itu, usaha mengesan pemandu e-hailing sedang dijalankan kerana beliau dipercayai dapat membantu mengenal pasti identiti penumpang selain memberikan maklumat penting bagi melengkapkan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM), yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara jika disabitkan kesalahan.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan sedemikian boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan ketenteraman awam. Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di 07-2182323 bagi membantu siasatan.
Polis Kesan Pemandu E-Hailing Bantu Siasatan Kes Video Hina Islam first appeared on #1 The News Malaysia.