Polis Kuantan Tahan Lima Lelaki Gara-Gara Ugut, Buat Provokasi Terhadap Pelanggan Di McDonald's Sungai Isap

by Oh! Semput


9
SHARES
111
VIEWS
Posted on 15 Apr 2024 16:30:34

KUANTAN: Lima lelaki termasuk seorang anggota tentera ditahan polis kerana didakwa melakukan provokasi dan ugutan terhadap pelanggan di sebuah restoran makanan segera McDonald’s di Sungai Isap di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 27 hingga 43 tahun ditahan di bilik Standby Detektif di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Menurutnya, penahanan kelima-lima suspek yang masing-masing bekerja sebagai pegawai bank, juru jual kereta, kontraktor, peniaga dan anggota tentera, dilakukan kira-kira jam 3.30 petang, pada Sabtu.

"Siasatan mendapati, dua daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

"Kita juga telah merampas sebuah kereta jenis Honda Jazz, sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton, sehelai bendera bersama batang pancing, satu unit telefon bimbit jenama Redmi dan motosikal Yamaha LC, topi keledar, sehelai baju berwarna putih seluar biru serta alat kawalan jauh, " katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pada Sabtu, tular satu rakaman video di laman sosial berhubung tindakan sekumpulan lelaki sedang berkempen memboikot McDonald's Sungai Isap di sini.

Wan Mohd Zahari berkata, hasil rakaman percakapan, empat suspek mengaku berada di lokasi kejadian, namun tidak melakukan sebarang ugutan jenayah terhadap mangsa.

Jelasnya, bagaimanapun, hanya seorang suspek yang bertindak melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa pada hari kejadian.

"Susulan itu, kesemua suspek ditahan reman sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut," katanya.

Sebelum itu, beliau memberitahu, mangsa berusia 40 tahun dikatakan bersama keluarga berada di premis makanan segera tersebut, jam 10.25 malam, pada Jumaat.

Katanya, peniaga air balang itu melihat beberapa lelaki tidak dikenali sedang berkempen memboikot McDonald's di situ, dan memanggilnya.

"Apabila mangsa pergi kepada kumpulan lelaki tersebut, salah seorang daripada mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadu dan melakukan provokasi.

“Mangsa cuba menghindari mereka dengan masuk kembali ke dalam premis McDonald’s namun selepas keluar untuk pulang ke rumah, kumpulan lelaki itu sekali lagi melakukan provokasi terhadap pengadu.

“Ketika pengadu hampiri kumpulan lelaki berkenaan, salah seorang daripadanya capai topi keledar lalu diberi kepada kawannya dan lelaki itu ugut akan pukul mangsa namun, situasi itu dileraikan isteri mangsa," katanya.

Menurut Wan Mohd Zahari, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. #sumber

http://www.pahangdaily.blogspot.com

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts