by Oh! Semput
Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai bertindak memecahkan cermin sisi sebuah kereta menggunakan kayu besbol dalam kejadian di kawasan Larkin, Khamis lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, pihaknya terlebih dahulu mengesan video kejadian yang tular di media sosial sebelum menerima laporan rasmi daripada mangsa sekitar jam 5.01 petang pada hari sama.
Mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia 62 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang apabila suspek dipercayai memberhentikan kenderaannya di tengah jalan sebelum keluar sambil membawa kayu besbol.
Lelaki terbabit kemudian bertindak memukul cermin sisi kereta mangsa sehingga pecah dipercayai akibat tidak berpuas hati kerana mangsa didakwa tidak memberikan lampu isyarat ketika memasuki laluan kiri.
Polis turut memaklumkan suspek dipercayai menunjukkan anaknya yang berada di dalam kereta ketika kejadian berlaku.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta Seksyen 506 kanun sama berkaitan ugutan jenayah.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda bagi kesalahan khianat, manakala kesalahan ugutan jenayah pula boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda.
Pihak polis kini sedang giat mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
Dalam masa sama, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan spekulasi atau rakaman kejadian secara berlebihan di media sosial yang boleh menimbulkan salah faham dan mengganggu keharmonian masyarakat.
Polis Buru Lelaki Pecahkan Cermin Kereta Dengan Kayu Besbol Di Larkin first appeared on #1 The News Malaysia.