by Oh! Semput
Kesabaran sentiasa membuahkan hasil yang ‘manis’, cuma kadang-kadang waktu kedatangan imbuhan itu agak lewat.
Namun tidak terlalu lambat untuk anggota polis trafik Indonesia yang tidak melawan ketika dicakar serta dimaki seorang wanita pengguna jalan raya baru-baru ini.
Menghargai ketabahan Sutisna berdepan serangan seorang wanita itu, kedutaan Arab Saudi di Indonesia menganugerahi anggota polis terbabit dengan hadiah mengerjakan haji pada tahun depan.
Ia disahkan jabatan perhubungan awam Polis Metro Jaya semalam.
“Alhamdulillah, Aiptu Sutisna mendapat penghargaan dari Kedutaan Arab Saudi berupa ibadah haji ke tanah suci Mekkah,” kata akaun Instagram polis berkenaan.
Tempo melaporkan Sutisna juga mengesahkan dia diberi penghargaan oleh kedutaan Arab Saudi.
Katanya, sijjil penghargaan dan pengesahan untuk mengerjakan haji itu disampaikan kepadanya di pejabat Duta Arab Saudi petang semalam.
Sutisna yang berpangkat aiptu (singkatan gelaran untuk inspektor muda) dipukul, dicakar dan diherdik seorang wanita kakitangan Mahkamah Agung Indonesia.
Dikenali sebagai Dora Natalia Singarimbun, wanita terbabit menyangka kenderaannya ditahan Sutisna.
Ketika Sutisna menghampira Dora untuk bertanya apa masalah dihadapinya, wanita terbabit semakin marah dan menyerang anggota polis terbabit.
Dora juga sempat merampas telefon genggam Sutisna.
Video kejadian itu juga menjadi tular di media sosial baru-baru ini.
Walaupun diperlakukan dengan kasar dan keji, Sutisna kemudian memaafkan Dora dan bersetuju berdamai selepas kedua-dua mereka bertemu.
Namun sebelum kedua-dua mereka berdamai, Dora disiasat polis atas tuduhan menyerang anggota keselamatan.
Jika sabit kesalahan Dora boleh dipenjara sehingga 16 bulan.
Kata Sutisna, dia bercadang menunaikan haji pada tahun depan.
“Semua kos ditanggung kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Pengarah Polis Trafik Metro Jaya, Ermayudi, pula pihaknya membenarkan Sutisna menunaikan haji kerana ia adalah penghargaan atas sikap kesabar anggota keselamatan terbabit.
Dia juga berharap kesabaran Sutisna dapat diteladani oleh anggota polis lain.
“Saya tentu saya mengizinkan. Alhamdulillah, Sutisna ini anggota polis yang mempunyai kesabaran berdepan dengan masyarakat,” katanya.
Category: Semasa