Polis Sahkan Pemandu Warga Emas Tidak Mabuk, Alami Masalah Kesihatan

by Oh! Semput


5
SHARES
61
VIEWS
Posted on 04 Jul 2026 08:01:36

Polis mengesahkan pemandu warga emas yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan sebuah Perodua Kancil di Parit Sempadan, Semerah, bukan memandu di bawah pengaruh alkohol, sebaliknya dipercayai mengalami masalah kesihatan ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 72 tahun itu mengalami komplikasi kesihatan yang dipercayai menjejaskan keupayaannya mengawal kenderaan sebelum kemalangan berlaku.

Menurut beliau, nahas yang berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari di Kilometer 127, Jalan Johor Bahru-Melaka itu mengorbankan pemandu Perodua Kancil di lokasi kejadian, manakala seorang wanita berusia 21 tahun yang memandu Nissan Sentra mengalami kecederaan.

Beliau berkata, setakat ini tiada bukti menunjukkan mangsa memandu dalam keadaan mabuk, namun jenis penyakit yang dialami masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melengkapkan laporan kes.

Terdahulu, rakaman video yang tular di media sosial memaparkan Perodua Kancil berkenaan dipandu dalam keadaan tidak stabil sebelum terbabit dalam kemalangan, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki yang dipercayai anak kepada mangsa tampil menjelaskan bahawa bapanya berkemungkinan mengalami hipoglisemia atau paras gula dalam darah yang terlalu rendah ketika memandu. Beliau turut memaklumkan ahli keluarganya tidak menyedari mangsa keluar dari rumah di Muar pada hari kejadian kerana tidak dimaklumkan terlebih dahulu, selain panggilan telefon yang dibuat tidak dijawab.

Polis menegaskan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan, termasuk mendapatkan pengesahan berkaitan keadaan kesihatan mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis Sahkan Pemandu Warga Emas Tidak Mabuk, Alami Masalah Kesihatan first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts