by Oh! Semput
Polis menahan lima lelaki dalam lima serbuan berasingan dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian dan pertaruhan melibatkan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata kesemua yang berusia lingkungan 20 hingga 30-an ditahan menerusi Op Soga IX yang dilancarkan sejak 19 Nov lepas bagi mengekang aktiviti haram terbabit di sekitar daerah itu.
Beliau berkata operasi juga dilaksanakan bagi menahan sindiket dan individu yang bertindak sebagai bookie atau ‘punter’ seterusnya mendakwa mereka mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Vijaya Rao berkata pihaknya turut merampas sejumlah barangan termasuk nilai had kredit dalam perisian mencecah RM200,000, satu unit komputer, satu unit modem, lima telefon bimbit dan satu keping jadual perlawanan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022.
: BERNAMA