by Oh! Semput
Tindakan pantas polis berjaya membawa kepada penahanan dua remaja lelaki berusia 13 dan 14 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian khianat memecahkan cermin lapan buah kenderaan di beberapa kawasan sekitar Gerik pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.38 petang membabitkan kawasan Taman Sri Temenggor, Taman Meha dan Taman Gerik.
Hasil siasatan awal mendapati sebanyak lapan kenderaan pelbagai jenis mengalami kerosakan akibat perbuatan vandalisme tersebut dengan anggaran kerugian mencecah RM10,000.
Beliau berkata, susulan maklumat dan risikan yang dijalankan, polis berjaya menahan kedua-dua suspek warga tempatan pada pagi Sabtu, kurang 24 jam selepas laporan diterima.
Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua remaja terbabit mengaku melakukan perbuatan berkenaan bersama dua lagi rakan yang masih dikesan polis.
Siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai menggunakan batu dan bata untuk memecahkan cermin kenderaan yang diparkir di beberapa lokasi, sebelum meninggalkan kawasan kejadian.
Polis turut merampas beberapa barang kes, termasuk sebuah motosikal, topi keledar dan pakaian yang dipercayai dipakai semasa kejadian bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda.
Abdul Samad turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya lebih peka terhadap pergerakan serta aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan jenayah atau vandalisme. Beliau menegaskan bahawa ibu bapa juga boleh berdepan liabiliti perundangan sekiranya kecuaian dalam pengawasan menyebabkan anak-anak terbabit dengan jenayah, ponteng sekolah, buli atau perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial selepas beberapa gambar menunjukkan cermin belakang dan sisi beberapa kenderaan dipecahkan. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan individu menaiki motosikal melempar objek dipercayai batu ke arah sebuah kenderaan turut tersebar dan dipercayai membantu polis mengenal pasti suspek dalam tempoh singkat.
Polis Tahan 2 Remaja Disyaki Pecah Cermin Kenderaan first appeared on #1 The News Malaysia.