Polis tangkap Haziq di KLIA

by Oh! Semput


HOME Posted on 15 Jun 2019 02:01:11


KUALA LUMPUR, 10 Syawal 1440H, Jumaat – Haziq Abdullah Abdul Aziz, lelaki yang mengaku sebagai individu dalam video lucah dengan mengaitkan seorang menteri Kabinet, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, petang tadi.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama itu ditahan bagi mengambil keterangan dan membantu siasatan kes video yang dikaitkan dengan dirinya.

“Bukit Aman akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, malam ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PKR Santubong berusia 27 tahun itu tampil membuat pengakuan menerusi satu video yang dikongsinya dalam media sosial bahawa dia terbabit dalam video intim bersama lelaki mirip seorang menteri.

Haziq kini telah digantung kerja setelah membuat pengakuan terbuka di Facebook mengenai video lucah itu.

Beliau, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, membuat pengakuan bahawa dia adalah lelaki dalam aksi seks itu bersama seorang yang didakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin kemudiannya menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya dalam video itu dan menyifatkan sebagai satu tuduhan jahat serta kejam.

Timbalan Presiden PKR itu juga menegaskan siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

Terdahulu, di KUCHING, polis menafikan dakwaan mengenai insiden menceroboh rumah kediaman keluarga Haziq di Petra Jaya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, pemeriksaan yang dijalankan di rumah berkenaan adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya menerima arahan daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk mengesan Haziq bagi merakamkan percakapanya dan keluarga bagi membantu siasatan susulan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor.

Beliau berkata, siasatan terhadap Haziq dibuat mengikut Seksyen 502 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sepasukan anggota IPD Kuching terdiri daripada dua pegawai kanan dan tiga anggota berpangkat rendah pergi ke rumah Abdul Aziz Ibrahim pada jam 5.20 petang semalam.

“Setibanya di kediaman tersebut, polis mendapati kediaman itu berpenghuni kerana terdapat kenderaan diletakkan di luar rumah.

“Polis memanggil penghuni di dalam rumah tersebut beberapa minit untuk membuka pintu pagar, namun tidak mendapat jawapan. Oleh itu, pihak polis mengambil keputusan masuk melalui pintu pagar yang tidak berkunci,” katanya, dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Awang Din berkata, setelah tiba di depan pintu kediaman itu, polis memanggil penghuni rumah sekali lagi sehinggalah tuan rumah muncul dan membuka pintu.

“Polis kemudian memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa serta memaklumkan tujuan kehadiran pihaknya ke kediaman tersebut.

“Kesemua pegawai polis kemudian dijemput masuk oleh Abdul Aziz, isteri dan kakak ipar Haziq, malah memberikan kerjasama yang baik termasuk membenarkan polis memeriksa rumah untuk mengesan suspek,” katanya.

Polis turut merakam percakapan Abdul Aziz mengikut Seksyen 211 Kanun Prosedur Jenayah dan laporan polis dibuat selepas pemeriksaan selesai, katanya.

Selain itu, Awang Din juga mengesahkan menerima laporan Abdul Aziz mengenai dakwaan pencerobohan rumahnya itu oleh sepasukan polis Bukit Aman. – Bernama

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...