Rakyat Malaysia di luar negara lebih rela pulang mengundi PRU14

by Oh! Semput


2
SHARES
21
VIEWS
Posted on 19 Jan 2018 04:01:57

RAKYAT Malaysia yang menetap di Australia memilih pulang ke tanah air untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana mereka kurang yakin dengan integriti proses undi pos.

Pelajar Australian National University (ANU), Sum Dek Joe berkata walaupun sistem undi pos Malaysia nampak sama dengan negara dunia pertama, rakyat Malaysia secara amnya masih skeptikal kerana mereka kurang yakin dengan institusi awam di tanah air.

“Sebagai pengundi berdaftar, saya tidak yakin dengan pross ini. Itu sebabnya walaupun saya penganjur kempen mengundi luar negara di Canberra, saya tidak memohon untuk mengundi secara pos,” kata wakil Malaysia Progresif di Australia (MPOZ) di Canberra itu dalam satu temu bual menerusi e-mel dengan The Malaysian Insight.

Cawangan MPOZ di Melbourne dan Canberra mengadakan kempen mengundi luar negara pada tahun lau untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengundi. Lebih 40 permohonan pendaftaran pengundi untuk golongan muda rakyat Malaysia di sana berjaya diluluskan.

Terdapat lebih 2,000 rakyat Malaysia menetap di Australia pada masa ini yang layak mengundi, menurut badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0.

Sum berkata kebanyakan rakyat Malaysia di luar negara tidak ada masa dan kemampuan untuk pulang ke tanah air bagi mendaftar mengundi atau mengundi, atau melakukan kedua-duanya.

“Maka, penting untuk kami mengambil apa saja pilihan yang ada di sini, undi pos atau undi tidak hadir,” katanya yang juga ketua tutor di ANU.

Undi pos atau undi awal

Rakyat Malaysia di luar negara boleh memilih untuk mengundi secara pos. Menurut panduan mengundi PRU14 oleh Global Bersih, Suruhanjaya Pilihan Raya menyediakan dua cara untuk rakyat Malaysia di luar negara mengundi menerusi pos.

Satu ialah undi secara pos, di mana kertas undi dihantar ke kedutaan yang akan mengeposnya ke alamat pengundi pada tarikh tertentu. Dan satu lagi ialah mengundi awal, di mana pengundi luar negara boleh membuang undi di kedutaan pada tarikh ditetapkan, biasanya beberapa hari sebelum tarikh mengundi.

Leon Law, yang belajar di Perth tetapi berada di Malaysia kerana bercuti, berkata beliau bercadang untuk pulang lagi ke tanah air bagi menyertai PRU yang akan diadakan selewat-lewatnya pada Ogos.

“Saya pulang pada masa ini untuk membantu persediaan PRU.

“Melihat kepada keadaan negara sekarang dan kekurangan kepimpinan atau hala tuju oleh perdana menteri, walaupun sebelum kes 1MDB meletus, saya janji dengan diri sendiri akan kumpul duit untuk pulang ke Malaysia pada PRU14,” katanya.

Presiden MPOZ Jason Wong berkata beliau tahu ramai pelajar berharap PRU akan diadakan awal semester iaitu pada Februari atau Mac.

“Mereka bimbang tentang kos dan perlu ponteng kelas. Dan jika kebetulan mereka berada di rumah ketika PRU14, mereka tidak boleh mengundi jika sudah berdaftar untuk mengundi dari Australia. Tarikhnya sukar dijangka,” katanya.

Wong berkata agak berisiko untuk bertukar dari pengundi biasa ke pengundi awal kerana daftar pemilih mengambil masa yang lama untuk dikemas kini.

Undi di tanah air paling selamat

Setiausaha Bersih Sydney Jason Goh berkata kurang ketelusan antara alasan utama pengundi di luar negara tidak yakin dengan proses mengundi di luar negara.

"Bersih Sydney menerusi beberapa program, terus menggalakkan rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi dan pulang ke tanah air untuk berbuat demikian.

“Untuk sebab yang disebut itu, kami fikir pulang ke tanah air untuk mengundi, adalah pilihan paling selamat.

“Sudah tentu ia lebih mudah cakap, daripada buat kerana tarikh PRU14 tidak tentu lagi dan biasanya tempoh antara pembubaran Parlimen dan tarikh mengundi terlalu hampir,” katanya.

Di mana hendak mengundi

Wong dari MPOZ berkata pendaftaran pengundi boleh dibuat di Melbourne, Perth dan Canberra di mana ada pejabat konsulat Malaysia.

“Pelajar di bandar lain termasuk Sydney perlu ke pejabat konsulat sendiri untuk mendaftar,” katanya merujuk kepada pelbagai masalah dihadapi ketika mereka cuba mendaftar sebagai pengundi.

“Jika pegawai berkuasa tidak ada pada hari berkenaan, borang tidak boleh diluluskan. Ada juga aduan kami terima sesetengah kakitangan konsulat tidak tahu pendaftaran undi pos boleh dilakukan,” katanya.

Katanya, secara teori, pelajar Malaysia di Asutralia ada hak untuk ke pejabat konsulat dan mendaftar sebagai pengundi pos kali pertama, proses yang sepatutnya hanya mengambil masa tidak lebih 10 minit.

“Ada yang beritahu kami bila mereka datang ke pejabat konsulat tanpa menghubungi kakitangan di situ terlebih dulu, mereka dimaklumkan bahawa borang belum siap.” – 19 Januari, 2018.

's

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts