Rangka Manusia Ditemukan Dalam Parit di Lahad Datu

by Oh! Semput


3
SHARES
36
VIEWS
Posted on 25 Jun 2026 15:01:53

Penduduk di kawasan turunan Bukit Taman Pertama 1 digemparkan dengan penemuan rangka manusia di dalam sebuah parit pada pagi Rabu, sekali gus mencetuskan operasi siasatan oleh pihak polis.

Kejadian itu dilaporkan sekitar jam 10.53 pagi selepas orang awam menghubungi talian kecemasan MERS 999 bagi memaklumkan penemuan rangka berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, sepasukan anggota polis telah dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan sebelum mengesahkan penemuan tersebut.

Menurut beliau, rangka manusia itu kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu bagi menjalani pemeriksaan terperinci untuk mengenal pasti identiti mangsa serta menentukan punca kematian.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan pemeriksaan forensik dan hasil siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, polis kini sedang mengumpul maklumat termasuk menyemak laporan individu hilang yang mungkin mempunyai kaitan dengan penemuan tersebut.

Sehubungan itu, mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Timbalan Ketua Polis Balai Lahad Datu, Sarjan Mejar Ronney Lajius.

Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan di media sosial kerana ia boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa.

Pihak polis menegaskan siasatan akan diteruskan secara menyeluruh bagi mengenal pasti identiti rangka tersebut dan menentukan sama ada penemuan itu mempunyai unsur jenayah atau sebaliknya.

Rangka Manusia Ditemukan Dalam Parit di Lahad Datu first appeared on #1 The News Malaysia.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts