Rentas negeri: Mohon jika perlu, usah beri alasan remeh

by Oh! Semput


2
SHARES
28
VIEWS
Posted on 18 Oct 2020 07:01:42

KUALA LUMPUR, 1 Rabiulawal 1442H, Ahad – Orang ramai yang ingin membuat permohonan rentas negeri diingatkan supaya tidak memberi alasan remeh dan hanya melakukannya jika ada keperluan mendesak.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata dalam tempoh empat hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 Okt, sebanyak 1,587 permohonan rentas negeri diterima dan daripada jumlah itu, 1,555 permohonan diluluskan manakala bakinya ditolak.

“Kebanyakan permohonan merentas negeri untuk tujuan perubatan, kematian, urusan kecemasan dan keperluan lain yang kita rasa perlu dibenarkan.

“Bagi permohonan yang ditolak kerana mereka mengemukakan alasan remeh seperti ingin bercuti atau melancong di negeri lain, menghadiri kenduri kahwin selain menggunakan alasan mahu menghantar anak pulang ke kampung tanpa tujuan atau bukan kecemasan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas operasi khas pematuhan PKPB di kawasan Selayang Baru dan Sri Gombak, dengan tujuh individu dikompaun serta dua warga asing ditahan dekat sini, tengah malam tadi.

Arifai, bagaimanapun berkata pihaknya akan mempertimbangkan permohonan rentas negeri yang membabitkan ahli keluarga yang sakit tenat dan alasan lain yang dianggap munasabah.

Khamis lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata borang permohonan permit pergerakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dilaksanakan PKPB boleh diperoleh di balai polis atau dimuat turun melalui Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Borang yang lengkap diisi perlu diserahkan kepada balai polis berdekatan bagi mendapatkan tanda tangan ketua balai dan dicap bagi kegunaan sewaktu melalui sekatan jalan raya.

Pada 12 Okt, Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 hingga 27 Okt, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan COVID-19 seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts