Richard Malanjum angkat sumpah ketua hakim baharu

by Oh! Semput


HOME Posted on 12 Jul 2018 01:01:23


Malanjum, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Julai. ― Foto oleh Sulok Tawie
Malanjum, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Julai. ― Foto oleh Sulok Tawie

KUALA LUMPUR, 11 Julai ― Tan Sri Richard Malanjum malam ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Malanjum, 65, menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini.

Upacara pengurniaan watikah pelantikan dan angkat sumpah jawatan turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Peguam Negara Tommy Thomas, dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Malanjum, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Tun Md Raus Sharif yang  mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Julai.

Malanjum dilahirkan pada Oktober 1952 di Tuaran, Sabah di mana beliau memulakan persekolahannya di peringkat rendah dan menengah di Kota Kinabalu, Sabah.           

Beliau memulakan kerjayanya dengan berkhidmat di Jabatan Pelajaran dan kemudian beberapa jabatan kerajaan yang lain.

Pada 1972, beliau melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti Teknologi Mara) di Shah Alam, Selangor, sebagai pelajar luar kampus University of London dalam bidang Undang-Undang dan telah dianugerahkan Bachelor of Laws (LL.B)(Hons)(London) pada 1975.

Setelah memperoleh ijazah undang-undang, Malanjum berkhidmat di Jabatan Ketua Menteri Sabah dan ditugaskan sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah.

Malanjum telah melanjutkan pelajaran di London dan berjaya menghabiskan pengajian “Bar-at-Law” pada tahun yang sama. Beliau telah dipanggil ke “The English Bar of the Honourable Society of Gray’s Inn” di London.

Sekembalinya dari London, beliau berkhidmat semula di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sebagai Pegawai Undang-Undang/Timbalan Pendakwa Raya.

Pada tahun 1977, beliau diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara di Sabah dan juga diterima masuk ke “The Australian Capitol Territory” (ACT) Bar pada 1991.

Pada 1981, Malanjum meletak jawatan di Pejabat Peguam Besar Negeri dan seterusnya menyertai bidang kerjaya guaman persendirian di Kota Kinabalu di mana pada waktu itu beliau telah menjadi Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada awal 1992.

Malanjum merupakan anak kelahiran bumiputera Sabah yang pertama dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia.

Pada 2006, buat pertama kalinya sejak terbentuknya Malaysia, beliau menjadi rakyat Sabah yang pertama diangkat sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. Sebelum ini, jawatan tersebut dipegang masing-masing oleh seorang berbangsa British, seorang dari Semenanjung dan beberapa orang dari Sarawak.

Sejurus selesai upacara angkat sumpah tersebut, Sultan Muhammad V kemudian mengurniakan watikah pelantikan kepada Tan Sri Ahmad Maarop sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan juga watikah kepada Datuk David Wong Dak Wah sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Malanjum.

Md Raus dan Zulkefli meletakkan jawatan mereka selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 8 Jun lalu.

Umur persaraan bagi para hakim ialah 66 tahun. ― Bernama


 

SUMBER ASAL


Norlida Ishak Shop

Related News


Leave a Comment: