Elak risiko penularan Covid-19 selepas perayaan - PM

by Oh! Semput


HOME Posted on 24 May 2020 00:01:33



"TAK mengapalah pada hari raya kali ini kita tak bersalam atau peluk cium datuk atau nenek kita.

"Jaga mak, ayah dan nenek kita yang sudah berusia. Ini kerana mereka lebih terdedah kepada jangkitan Covid-19"

Itu pesanan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Aidilfitri yang disiarkan secara langsung di televisyen, malam ini.

Beliau berkata, semua pihak perlu berbincang dengan adik beradik serta saudara mara mengenai siapa yang boleh datang berziarah ke rumah dan perlu mengamalkan penjarakan sosial serta elakkan bersalaman dan bersentuhan.

"Bukan kita tak sayang mereka. Tetapi kerana kita sayangi merekalah kita elakkan daripada menyentuh mereka. Bagi yang bergejala seperti demam, duduklah di rumah. Tak perlu bergerak ke sana sini.

"Elakkan bersesak-sesak di tempat atau ruang yang sempit. Pastikan anda jarakkan diri dari tetamu yang lain. Kemudian, selepas selesai berkunjung ke rumah keluarga terdekat atau melayan tetamu, pastikan anda cuci tangan dan kekalkan kebersihan diri.

"Bagi tuan rumah yang menerima tetamu, bersihkan rumah anda dengan segera," katanya.

Muhyiddin berkata, semua itu penting ketika menyambut Aidilfitri dan pada masa yang sama mengelakkan risiko penularan wabak Covid-19 selepas cuti perayaan.

Katanya, di beberapa negara lain wabak Covid-19 menular selepas musim perayaan.

"Kita nak elakkan perkara seperti ini berlaku di negara kita. Nau'zubillah. Jadi, biarlah kita ambil langkah yang lebih berhati-hati supaya kita selamat di kemudian hari.

"Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, umat Islam di negara ini disaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika menyambut Aidilfitri.

Katanya, biarpun sambutan kali ini berbeza dan kurang meriah daripada tahun sebelumnya, namun suasana kemeriahan perlu diwujudkan bersama ahli keluarga.

Katanya, rakyat juga tidak dibenarkan bergerak merentas negeri untuk balik ke kampung dan mesti mematuhi SOP sambutan perayaan yang ditetapkan oleh kerajaan dengan nasihat Kementerian Kesihatan.

"Ziarah keluarga terdekat dibenarkan dengan maksimum 20 orang tetamu sahaja satu hari.

"Di masjid dan surau pula, hanya sebilangan daripada kita yang dibenarkan untuk mendirikan solat berjemaah termasuk solat sunat hari raya kali ini.

"Di Wilayah Persekutuan sebagai contoh, hanya 30 jemaah sahaja yang dibenarkan berada di masjid dan surau terpilih untuk melaksanakan solat berjemaah," katanya dalam perutusan khas Aidilfitri hari ini.

Perdana Menteri berkata, dengan kawalan pihak polis dan RELA, keadaan secara umumnya adalah terkawal dan SOP PKPB juga dapat dipatuhi dengan baik tanpa sebarang kejadian yang tak diingini.

Beliau turut mengingatkan mereka yang berpeluang untuk mendirikan solat berjemaah di masjid dan surau, termasuk solat sunat Aidilfitri esok, supaya tidak lupa untuk mematuhi garis panduan PKPB yang diumumkan seperti mengambil wuduk di rumah, pengambilan suhu badan dan bawa sejadah sendiri ke masjid.

"Ketika hendak mulakan solat biasanya imam akan kata rapat-rapatkan saf. Kali ini tidak. Untuk menjaga penjarakan sosial, imam mesti ingatkan makmum supaya renggang-renggangkan saf. Ini lebih afdal. Selepas solat, tak perlu bersalaman dengan jemaah yang lain.

"Ingat, saya ulang, tak perlu bersalam. Cukup sekadar tunduk sebagai tanda hormat dan senyum saja. Insha Allah, kita tetap akan dapat pahala berjemaah dan sekali gus membantu usaha mengawal jangkitan Covid-19," katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau percaya kebijaksanaan dan dedikasi pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dan surau akan dapat memberi peluang kepada umat Islam beribadah dan mematuhi garis panduan atau SOP yang ditetapkan dalam usaha mengawal penularan wabak Covid-19.

Katanya, mereka yang tidak berpeluang berbuat demikian boleh menghidupkan kegembiraan dan rasa kesyukuran selesai berpuasa dengan alunan takbir bersama ahli keluarga.

"Rujuklah panduan mendirikan solat sunat berjemaah Aidilfitri dan amalan sunat lain yang disediakan oleh pihak berkuasa agama negeri dan alim ulama.

"Saya juga mendoakan supaya petugas barisan hadapan, anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan negara dan rakyat Malaysia yang berada di luar negara dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan serta sentiasa dilindungi oleh Allah SWT," katanya.

Muhyiddin berkata, keputusan dibuat kerajaan mengenai garis panduan hari perayaan adalah bersandarkan kepada prinsip Maqasid Syariah iaitu memelihara nyawa.

"Alhamdulillah, kita bertuah kerana kita memiliki kemudahan kesihatan antara yang terbaik di dunia. Kita juga mempunyai doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dan profesional.

"Kerana itu, setakat ini kita menjadi antara negara yang paling berjaya mengawal penularan Covid-19. Namun, dalam menentukan kejayaan kita seterusnya, yang lebih penting ialah tanggungjawab kita sendiri

"Jika kita patuhi SOP yang ditetapkan, bermakna kita sudah pun melaksanakan tanggungjawab kita. Ini besar maknanya kepada kita semua," katanya.

SUMBER ASAL


Leave a Comment:

Related News


loading...