RON95 Akan Naik Menjelang 2017, Sila Kembalikan Subsidi, Kata Rafizi

by Oh! Semput


4
SHARES
48
VIEWS
Posted on 20 Dec 2016 10:00:18


KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli mendakwa harga RON95 akan naik menjelang 2017, maka kerajaan didesak mengembalikan subsidi minyak.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata mengikut formula penetapan harga oleh kerajaan, harga pasaran RON95 akan meningkat kepada RM2.20 seliter susulan kenaikan harga minyak mentah sebanyak 18%.

“Sejak awal Disember, harga minyak mentah naik mendadak ekoran keputusan OPEC (Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak) untuk mencatu pengeluaran minyak mentah,” katanya pada sidang media di Invoke Malaysia hari ini.

Beliau turut menunjukkan carta Piawaian Minyak Mentah Brent yang menunjukkan harga minyak pada 19 Disember ialah AS$54.78 setong berbanding AS$46.38 setong pada 19 November.

“Kenaikan 18% ini tentu akan memberi kesan secara langsung terhadap harga pasaran RON95 yang akan ditetapkan kerajaan pada 1 Januari 2017. Prestasi ringgit yang lemah berbanding dolar AS memburukkan lagi keadaan.

“Harga RON95 mengikut formula kerajaan dan harga pasaran purata bagi 3 minggu setakat ini RM2.10 seliter. Jika harga minyak mentah kekal atau meningkat, saya menjangka harga RON95 mengikut formula ini adalah RM2.20 seliter bermula 1 Januari,” katanya.

Rafizi berkata pada masa sama, negara selaku pengeluar minyak turut mendapat keuntungan luar jangka daripada kenaikan harga minyak mentah.

“Maka Datuk Abdul Rahman Dahlan selaku menteri yang bertanggungjawab dalam perancangan ekonomi perlu menyatakan secara terbuka sama ada kerajaan akan guna keuntungan itu untuk mengembalikan subsidi minyak atau tidak.

“Jangan hanya jadi kaki pukul kepada perdana menteri tetapi mengabaikan tugas untuk memastikan suasana ekonomi tidak menekan rakyat.

“Adakah beliau akan berbangga mengumumkan kenaikan itu, seperti mana beliau bangga mengumumkan kehadiran ke mesyuarat OPEC mewakili negara,” katanya.

Rafizi turut membidas kenyataan Rahman sebelum ini yang berkata Pakatan Harapan hanya sibuk dengan isu siapa yang akan jadi perdana menteri, tetapi tiada dasar yang boleh membantu rakyat.

“Dia kata kita tiada dasar, (tetapi) inilah dasar kita. Jika kita mentadbir negara hari ini, kita akan peruntukkan sebarang pendapatan lebihan seperti ini dan kembalikannya kepada rakyat,” katanya. - freemalaysiatoday

© copyright 2016 SehinggitMedia – All Rights Reserved

Sehinggit Media (http://sehinggit.blogspot.my/)

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News


Related Posts
Hanya RM1 je
Popular Posts