by Oh! Semput
KUANTAN: Rakyat Pahang dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah dan sentiasa berwaspada susulan keadaan jerebu yang menyebabkan institusi pendidikan di Rompin dan Kuantan ditutup sementara hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tidak sihat, khususnya dalam kalangan golongan berisiko tinggi.
“Di kesempatan ini saya menyeru seluruh rakyat Pahang supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengurangkan aktiviti di luar rumah, mematuhi nasihat pihak berkuasa, mengelakkan pembakaran terbuka serta memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah.
“Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan perlu diberikan perhatian khusus,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, keputusan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang menutup sementara institusi pendidikan di kedua-dua daerah itu mulai hari ini dibuat bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta seluruh warga pendidikan terpelihara.
Beliau turut meminta ibu bapa, majikan dan penganjur program mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tidak sihat.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus memantau perkembangan semasa bersama agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil demi kepentingan rakyat,” ujarnya. #KOSMO!