by Oh! Semput
KUANTAN: Tempoh akhir pembayaran cukai tanah tahun 2026 bagi negeri Pahang dilanjutkan sehingga 30 Jun ini. Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan hari ini.
“Kerajaan Negeri Pahang bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah bagi tahun 2026 sehingga 30 Jun 2026 berbanding tarikh asal sebelum ini iaitu pada 31 Mei setiap tahun.
“Lanjutan tempoh bayaran cukai tanah ini diberikan dengan pengecualian daripada dikenakan denda lewat sebanyak 10 peratus daripada jumlah cukai tanah semasa yang dikenakan,” katanya.
Menurut Wan Rossy, keputusan pelanjutan tempoh itu dibuat mengambil kira tempoh cuti yang panjang sepanjang bulan Mei ini, dan ia diharap dapat memberi ruang dan kemudahan kepada rakyat untuk menjelaskan bayaran cukai tanah masing-masing.
Beliau dalam masa sama mengingatkan bahawa cukai tanah merupakan tanggungjawab penting setiap pemilik tanah dan hasil kutipan tersebut dapat membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda pembangunan, penyediaan infrastruktur, kebajikan rakyat serta perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat Pahang secara keseluruhannya.
“Sehubungan itu, saya menyeru agar semua pembayar cukai mengambil peluang lanjutan tempoh ini untuk menyelesaikan bayaran cukai tanah masing-masing dengan segera bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan pada masa akan datang.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited memastikan tadbir urus hasil negeri berada pada tahap terbaik demi menjamin kestabilan kewangan negeri serta kelangsungan agenda pembangunan untuk manfaat seluruh rakyat,” katanya. #MalaysiaGazette