by Oh! Semput
ROMPIN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meluahkan keyakinan terhadap kebijaksanaan rakyat dalam menilai sendiri prestasi kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyatnya.
Disebabkan itu, katanya beliau yakin bahawa rakyat akan terus memilih pemerintahan sedia ada di negeri ini bagi menikmati kepelbagaian manfaat yang disediakan untuk semua peringkat umur.
“Sebab itu, bukan 26 sahaja, kita sasar 32 kerusi di Pahang,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perikatan Nasional (PN) semalam, untuk menawan sekurang-kurangnya 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PU-16) nanti.
“Realitinya, rakyat akan buat penilaian berdasarkan prestasi kerajaan negeri. Sebagai contoh apabila harga barang naik akibat krisis di Timur Tengah, kerajaan negeri tampil ke hadapan memberi bantuan barang dalam bentuk makanan kepada mereka yang terjejas.
“Selain itu, banyak bantuan lain yang kita tawarkan kepada rakyat daripada ibu yang melahirkan anak sampai kepada warga emas, anak masuk sekolah, universiti.
“Jadi, saya berharap rakyat bijak memilih. Jangan apabila terdengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Pinggiran Pelangi dan Majlis Pelancaran PR1MA Pahang Muadzam Shah Daerah Rompin, di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 102 orang penerima hadir bagi menerima kunci rumah PR1MA yang disampaikan oleh Wan Rosdy di mana projek itu memiliki 112 unit rumah bernilai RM16.8 juta. #MalaysiaGazette