by Oh! Semput
Sejak beberapa hari yang lalu, nama seorang pelajar perempuan Malaysia yang menuntut di salah sebuah universiti di Korea Selatan mendapat perhatian orang ramai disebabkan oleh kenyataan yang diberikan olehnya pada baru-baru ini.
Dia yang dikenali sebagai Sabrina telah dikritik hebat oleh warganet selepas muncul dalam satu program temubual bersama aganesi berita antarabangsa, BBC.
Menerusi video yang dimuat naik oleh pihak BBC, Sabrina mengatakan adalah tidak menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang yang berhijab ingin membuat tarian K-Pop kerana dunia sekarang sudah maju.
Melihat kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh gadis berusia 22 tahun ini, ramai warganet di seluruh dunia meluahkan kemarahan terhadap Sabrina dan menyifatkan dia seolah-olah memandang ringan akan hukum agama dalam bab berhijab.
Bahkan, boleh menggelirukan orang bukan Islam di luar sana.
Memetik laporan dari Buzzkini, Mufti Negeri Sembilan, Sahibus Samihah Dato’ Hj Mohd Yusof Bin Hj Ahmad berpendapat bahawa kenyataan yang diberikan oleh Sabrina dalam temubual tersebut bergantung kepada beberapa keadaan.
Menurut beliau, sekiranya gadis tersebut kurang didedahkan kepada ajaran Islam atau berlatarbelakangkan keluarga yang tidak mempedulikan hidup beragama, maka kata-kata yang dilontarkan itu boleh dimaafkan.
Sekiranya tidak, maka ia sudah menjadi satu penghinaan kepada agama Islam.
“Sekiranya jahil tentang Islam, dia boleh dimaafkan. Namun begitu, jika dia seorang muslim yang benar-benar tahu mengenai hukum hakam, maka kata-katanya itu merupakan penghinaan kepada agama.” jelas Dato Mufti.
Pada masa yang sama, beliau mengatakan Islam sebenarnya sudah mengatur semua aspek kehidupan manusia, terutamanya dalam pembentukan akhlak yang mulia.
“Ini bagi memastikan maruah seseorang penganutnya sentiasa terpelihara daripada runtunan nafsu syaitan yang sentiasa mendorong kepada keburukan.”ujarnya lagi.
Tambahnya, sebagai seorang muslim, kita seharusnya berilmu, beriman dan beramal.
“Dengan ilmu yang lengkap, iman yang mantap, seorang muslim akan bermuhasabah dapat mengkoreksi diri menjadi manusia yang berjiwa kental dan tenang.
Ini seterusnya dapat melihat Islam sebagai suatu anugerah Allah SWT yang indah dan tak ternilai,” katanya kepada BuzzKini.
Untuk makluman, sehingga kini Sabrina masih berdiam diri dari memberikan sebarang respon berhubung kenyataan tersebut.