Sejak 2015, JDT Hanya 2 Kali ‘Buang’ Mata Berturut-Turut, Apa Nasib Kedah?

by Oh! Semput


HOME Posted on 04 May 2021 19:01:14



Sejak 2015, JDT akan bangkit pada perlawanan ketiga selepas mereka gagal meraih mata penuh dalam dua aksi berturut-turut. Apakah nasib Kedah pada Selasa?

Rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam 21 perlawanan dicalar Terengganu FC dan mampukah Kedah Darul Aman FC terus merosakkan ‘mood’ mereka?

Harimau Selatan bukan dalam ‘mood’ terbaik untuk berkunjung ke Darul Aman dan ini adalah peluang terbaik buat anak didik Aidil Sharin Sahak untuk membenam juara Liga Super tujuh kali itu dan memintas kedudukan mereka sebagai pendahulu liga.

Selepas tewas 0-1 kepada Terengganu, mereka gagal merekodkan kemenangan ketika bertemu KL City FC apabila diikat dengan keputusan seri 1-1, baru-baru ini. Itupun, mereka terlebih dahulu ketinggalan sebelum berakhirnya babak pertama.

JDT pernah dilihat kehilangan rentak seketika dalam saingan musim ini apabila pada perlawanan ke-4 bertemu Selangor FC, JDT diikat dengan keputusan 1-1 dan selepas itu mereka terpaksa bangkit mengejar dua gol untuk mengikat Perak FC pula.

Sebelum ini, Selangor menjadi pasukan pertama mencuri mata daripada JDT, disusuli Perak dan Terengganu pula muncul pasukan sulung meleburkan rekod 21 bulan tanpa kalah skuad Harimau Selatan. https://t.co/45mXGn5WQx

— Utusan Malaysia (@UMonline) April 30, 2021

Mereka bangkit pada perlawanan selepas itu ketika berdepan Melaka United dengan keputusan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim. Kini, situasi berbeza. Untuk bangkit selepas dua kekecewaan, mereka perlu melakukannya di halaman lawan pada esok.

Bekas pengendali Selangor, B. Satiananthan pernah berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Akbar Sahari musim lalu yang jika mahu menang ke atas JDT, mereka perlu bertemu lawan ketika JDT berada dalam prestasi kurang baik ketika itu.

“Apa pun JDT ada kualiti. Cuma kita kena lawan mereka ketika mereka dalam prestasi kurang baik. Itu sahaja,” tegas B. Satiananthan menggambarkan yang peluang akan tiba buat mana-mana pasukan untuk tundukkan JDT, jika perkara itu berlaku.

KL City telah mengambil peluang itu dengan keputusan besar, mengikat JDT dengan keputusan 1-1. Penyerang berbisa mereka, Bergson juga telah kehilangan sentuhan jaringan dalam dua perlawanan berturut-turut, satu isu yang boleh membantu.

Astro Arena turut memaklumkan, bek tengah JDT, Mauricio mungkin bakal terlepas lagi aksi ketika berdepan Kedah dan inilah yang perlu dimanfaatkan oleh Hijau Kuning. Tanpanya yang mengalami kecederaan, JDT kehilangan rentak dalam dua aksi.

Benjamin Mora: Tiada Masalah Dalam Permainan, Cuma Kami Tidak Menang https://t.co/4TFFRCx1O3

— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) April 30, 2021

Namun, berdasarkan rekod sejak 2015, paling lama JDT gagal meraih mata penuh hanya dalam dua aksi. Selepas itu, mereka kembali kepada rentak kemenangan mereka semula. Untuk itu, Kedah perlu juga berhati-hati kebangkitan mereka.

Ketika ditanya sama ada pasukannya ada masalah dalam permainan dalam dua aksi terkini, pengendali JDT, Benjamin Mora pantas menyanggahnya sebelum ini.

“Setiap pasukan dalam dunia, ada masanya mereka terjatuh dalam sesuatu musim itu. Kami sudah berada di takhta untuk jangka masa yang panjang. Kami tidak boleh katakan yang kami adalah Superman kerana adakalanya kami juga akan kalah.

“Kami bermain dengan intensiti yang tinggi tetapi perlawanan ini agak tertutup. KL City bermain dengan sangat baik, mereka sangat kompak dan tersusun. Kami gagal untuk menjaringkan gol walaupun memiliki beberapa peluang,” jelasnya lagi.

Jadi, bolehkah Kedah mengambil peluang atas kemerosotan prestasi JDT? Tampak sukar, namun bak kata Aidil Sharin sebelum ini, beliau percaya, dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Yang penting, Kedah perlu kompak di jentera tengah dan cuba menutup segala ruang yang ada yang mampu dimanipulasi oleh pihak lawan.

KREDIT FEATURED IMAGE: JST

Baca lagi artikel lain mengenai Kedah dan JDT:

Perlawananan Kedah Darul Aman FC VS JDT Diteruskan Tanpa Kehadiran Penyokong – MFL

Rabih Ataya Tak Cukup ‘Baguih’ Untuk Kedah Setakat Ini?

5 Fakta Menarik Mengenai Hakimi Abdullah Perlu Anda Tahu Selepas Bocori Gawang JDT

SUMBER ASAL

Leave a Comment:

Related News