by Oh! Semput

Saksi, Rashid Lee Abdullah, 41, terserempak dengan kereta yang dinaiki mangsa dipenuhi asap apabila sedang berjalan menuju ke kenderaannya di Asia City.
KOTA KINABALU: Sebuah kereta mewah jenis Bentley yang dinaiki oleh dua sahabat tiba-tiba terbakar dalam kejadian di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian 12.30 pagi itu, dua sahabat yang berada dalam kereta berkenaan sempat menyelamatkan diri apabila mendapati kereta yang dinaiki mereka itu terbakar.
Kejadian itu berlaku di perkarangan Plaza Shell, berdekatan bulatan Capitol, Jalan Pantai. Dua mangsa masing- masing berusia 26 dan 29 tahun itu dikatakan menuju ke Taman Ujana, Jalan Tuaran dari pusat bandar dengan menaiki kenderaan berkenaan.
Saksi, Rashid Lee Abdullah, 41, terserempak dengan kereta yang dinaiki mangsa dipenuhi asap apabila sedang berjalan menuju ke kenderaannya di Asia City.
“Ketika kejadian, saya baru sahaja tamat shif di tempat kerja dan sempat melihat kereta mewah yang sedang melalui laluan berkenaan.
“Tidak lama selepas itu, bahagian bonet hadapan kereta terbabit tiba- tiba mengeluarkan asap serentak disusuli bunyi letupan dan kemudiannya terbakar, tanpa berlengah saya serta beberapa orang awam bergegas ke tempat kejadian untuk menghulur pertolongan,” katanya.
Menurutnya, dua lelaki yang menaiki kereta itu bernasib baik kerana sempat keluar dan menyelamatkan diri sementara Bentley berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan akibat terbakar dalam kejadian terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang sebelum kenderaan yang dinaiki mereka terbakar di lokasi berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, dua mangsa lelaki itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke Taman Ujana, Jalan Tuaran sebelum kereta jenis Bentley dinaiki mereka terbakar berhampiran perkarangan Plaza Shell, berdekatan bulatan Capitol, Jalan Pantai.
“Kedua-dua mangsa sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan namun kereta itu terjejas teruk di bahagian bonet hadapan,” katanya.
Beliau berkata, tiada sebarang unsur jenayah berlaku dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Peraturan 94 LN 170/59.