by Oh! Semput
KOTA KINABALU: Persatuan bolasepak Malaysia (FAM) telah mempertimbangkan untuk membuat semakan semula terhadap keputusan penggantungan seumur hidup yang dikenakan ke atas Matlan Marjan serta lima bekas pemain bolasepak Sabah era 1994-1995.
Lima yang lain ialah Matusin Bowie, Junaidy Tuah, Gerald Mojiliu, G Raveychandran dan Charles Tindi.
Perkara itu dimaklumkan FAM melalui surat yang bertarikh 9 Disember 2016 kepada Persatuan bolasepak negeri Sabah (SAFA). Memetik kandungan surat tersebut:
Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa persatuan ini telah mempertimbangkan untuk membuat semakan semula terhadap keputuasan penggantungan seumur hidup yang dikenakan ke atas encik Matlan Marjan beserta (5) lagi bekas pemain Sabah (selepas ini disebut’pemain-pemain’yang turut menjalani hukuman yang sama.
Semakan ini akan dibuat mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh FIFA, AFC dan FAM
Pada bulan Mei lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memberi pengampunan kepada bekas pemain yang pernah terbabit rasuah pada 1994-95.
Walaubagaimanapun daripada senarai 84 pemain yang terlibat hanya 73 nama yang diumumkan sementara Matlan adalah antara enam pemain lain yang masih belum mendapat pengampunan sepenuhnya daripada FAM.
Ketika dihubungi Portal Suara Masyarakat Sabah, Matlan mengesahkan hal tersebut selepas dimaklumkan oleh pihak SAFA.
Beliau yang kini berada di Kedah atas urusan peribadi memberitahu khamis lalu peguamnya bertemu dengan pihak SAFA untuk berbincang tentang dokumen dan prosedur yang seterusnya.
Pihak FAM mengingatkan agar semua yang berkenaan supaya segera menghantar afidavit beserta eksibit bagi membolehkan perkara ini diselesaikan secepat mungkin.
Peledak dua gol untuk Malaysia dalam aksi persahabatan bertemu England pada 1991 itu berharap semoga kali ini semuanya akan dapat diselesaikan dan menyambut baik keputusan Persatuan bolasepak Malaysia.
“SAFA sekarang bagi kerjasama yang baik dengan kami dan komited membantu kami supaya mendapat pembelaan seperti rakan-rakan lain di semenanjung,,” kata Matlan ketika ditanya penulis Portal Suara Masyarakat Sabah mengenai peranan SAFA dalam perkara ini.
Tambahnya lagi dia bersyukur kerana terus mendapat galakan daripada keluarga serta sokongan pihak-pihak yang berkenaan dan sudah paling tidak dilupakan adalah penyokong-penyokong yang terus berdiri teguh di belakangnya. – Suara Masyarakat Sabah
BACA JUGA: Matlan Marjan Kongsi Kejayaan Anak