Putrajaya - Seluruh rakyat Malaysia diminta menunaikan solat hajat bermula pada Jumaat ini selepas solat Jumaat untuk memohon doa agar ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara akan selesai dan reda, lapor
Harian Metro.
Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar bersama-sama mendoakan supaya diberikan kesejahteraan dan keselamatan serta perlindungan kepada negeara kita yan sedang menghadapi kemelut berikutan penahanan 11 rakyat Malaysia di Korea Utara.
Semua masjid utama di bawah JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) dan di semua masjid dan surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diminta mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat bermula pada hari Jumaat dan ia akan diteruskan sehingga kemelut ini berakhir.
Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga berkata, beliau memohon kerjasama dan jasa baik Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh Malaysia akan turut serta mengadakan solat hajat ini di semua masjid dan surau di negeri masing-masing bermula pada hari Jumaat ini.
Tujuan solat hajat ini diadakan adalah untuk mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada negara kita dan semua rakyat Malaysia.
Sama-sama kita berdoa semoga konflik ini dapat diselesaikan dengan baik dan rakyat Malaysia di Korea Utara dapat segera kembali pulang ke tanah air dengan selamat. Semoga usaha murni kita ini akan diberkati dan dirahmati Allah. -
:
Harian Metro