by Oh! Semput
Gelisah tika senja
Biarpun sudah dua bulan berlalu, namun Sabturiah Lakidau, 59, yang menjadi mangsa samun di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang, di sini, mengakui masih trauma dengan kejadian yang turut mengakibatkan suaminya Abdul Rahman Pileh, 60, meninggal dunia.
Sabturiah berkata, hingga ke saat ini, dia masih mengingati setiap detik peristiwa hitam itu sehingga kehidupannya berubah.
“Setiap hari menjelang Maghrib, perasaan takut mula menghantui diri dan saya terbayang bagaimana kejadian itu berlaku.
“Apabila terkenang kejadian, saya menangis sendirian apatah lagi rumah didiami ini tempat kejadian samun itu berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, di sini, semalam.
Katanya, dia bersyukur kerana mempunyai anak, menantu serta saudara-mara yang banyak memberi semangat meneruskan kehidupan.
“Saya bukan saja kehilangan suami, tapi keadaan fizikal saya juga berubah kerana saya dikelar di bahagian muka, lidah, pergelangan tangan dan juga bahu.
“Akibat kejadian itu, saya menerima lebih 100 jahitan, sekali gus menyebabkan percakapan saya juga tidak sempurna,” katanya.
Mengimbas semula kejadian pada 14 Julai lalu, katanya, dia berada di rumah bersama dua cucunya, manakala arwah suaminya keluar berjoging di taman perumahan berkenaan.
“Sewaktu arwah pulang, seorang lelaki mengikut dia dari belakang dan masuk ke dalam rumah dan kami tidak mengesyaki apa-apa memandangkan pada waktu itu umat Islam masih lagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.
“Arwah meminta saya dan cucu kami menyediakan minuman serta menjamu kuih raya kepada suspek sebelum kedua-dua cucu saya pulang ke rumah ibu bapa mereka yang terletak di kawasan berdekatan,” katanya.
Selepas menyediakan makanan dan minuman kepada lelaki itu, Sabturiah menonton televisyen manakala arwah suaminya bersiap untuk ke surau.
“Sebaik arwah bersiap dan meminta diri untuk ke surau, lelaki itu meminta diri untuk pulang namun tidak sampai lima minit kemudian dia kembali ke rumah dan memberi alasan mencari kunci tertinggal.
“Melihatkan keadaan itu, saya menyuruh dia mencari kunci di kerusi dan lelaki berkenaan keluar semula apabila tidak menemui kunci dan saya terus mengunci pintu,” katanya.
Katanya, dalam tempoh 15 minit, suaminya pulang ke rumah sebelum keluar mengambil anak lelakinya pulang dari Alor Setar, Kedah di Terminal Melaka Sentral.
“Saya dan arwah suami terkejut kerana lelaki itu memasuki rumah kami kali ketiga dan memberi alasan mencari kunci tertinggal.
“Saya pergi ke dapur memeriksa pintu serta suis di dapur, dan suami berada di ruang tamu. Apabila saya menoleh ke arah arwah, saya melihat lelaki itu sedang bergelut dengan suami lalu terus menjerit memintanya melepaskan arwah namun dia enggan,” katanya.
Sabturiah berkata, lelaki berkenaan menarik arwah ke dapur menyebabkan dia keluar meminta pertolongan daripada jiran.
Katanya, dalam keadaan kelam kabut, dia berlari sambil menjerit meminta pertolongan dan tudungnya ditarik dari belakang oleh lelaki itu menyebabkan mereka bergelut.
“Sewaktu bergelut itu, saya nampak suspek merentap gelang emas yang saya pakai dan kemudian saya tidak sedarkan diri.
“Kami sekeluarga memang tidak mengenali suspek dan hanya bertemu sekali sewaktu berniaga di Kem Terendak,” katanya