by Oh! Semput
Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa Lim Kit Siang tidak berbincang terlebih dahulu dengan ahli partinya ketika mencadangkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi perdana menteri sementara jika pembangkang memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menurut Nazri, pemimpin veteran DAP itu berperangai sama seperti bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang gemar membuat keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu.
“Saya rasa dia (Lim) ini juga seorang tua yang dia merasakan seolah-olah DAP itu hak milik keluarga dia.
“Saya tak fikir itu merupakan satu keputusan yang dibuat oleh partinya sendiri sebab saya pun tengok banyak ahli Parlimen, pemimpin DAP yang tidak selesa dengan (kehadiran) Tun Mahathir (dalam pembangkang).
“Jadi biasalah perangai Mahathir sama juga dengan Lim Kit Siang, jadi apa yang dia fikir dia nak cakap, dia cakap walaupun belum lagi bincang dengan parti dan kongsi gelap dia,” ujar Nazri lagi.
Nazri berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pameran wayang kulit bertajuk Nusantara di Muzium Negara.
Sebelum ini, Lim menyatakan kemungkinan Wan Azizah menjadi perdana menteri interim manakala Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menjadi timbalan perdana menteri sementara jika pembangkang memenangi PRU akan datang.
Nazri yang juga menteri pelancongan dan kebudayaan berkata, zaman Lim dan Mahathir telah pun berlalu, justeru, mereka diingatkan ‘balik jaga cucu’.
“Inilah orang kata apa nostalgia orang-orang tua. Zaman mereka telah berlalu, balik jaga cucu lah,” katanya.
Sementara itu Nazri ketika ditanya mengenai kredibiliti Wan Azizah sekiranya menjadi perdana menteri berkata:
“Saya tak nak komen pasal Wan Azizah, saya nak cakap pasal Lim Kit Siang,” katanya.
Category: Semasa