by Oh! Semput
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka siasatan terhadap seorang individu berhubung penyebaran kandungan yang disyaki palsu di Facebook berkaitan dua kes kematian pelajar di Indonesia dan Malaysia.
Menerusi kenyataan hari ini, MCMC berkata hantaran yang dimuat naik pada 5 Oktober lalu itu didapati mengaitkan kematian seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia tujuh tahun dengan kes kematian Irene Sofiya di Yong Peng, Johor.
Kandungan tersebut turut mengaitkan kedua-dua kejadian dengan pentadbiran Kerajaan Malaysia sehingga berpotensi menimbulkan kekeliruan dan salah faham orang ramai terhadap sistem persekolahan di negara ini.
Susulan itu, MCMC mengambil rakaman percakapan individu terbabit pada 7 Oktober lalu bagi membantu siasatan. Sebuah telefon bimbit bersama kad SIM yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan turut disita.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Mengikut peruntukan yang dinyatakan MCMC, jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC memandang serius penyebaran kandungan yang belum disahkan, terutama apabila ia melibatkan kehilangan nyawa. Kandungan sedemikian bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan perasaan keluarga dan rakan mangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, kes kematian Irene Sofiya masih dalam siasatan pihak berkuasa. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat kesimpulan atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sepanjang siasatan berlangsung.
MCMC turut mengingatkan pengguna media sosial supaya menyemak kesahihan fakta dan sumber sebelum berkongsi sesuatu kandungan, selain menghormati sensitiviti keluarga mangsa serta menggunakan platform digital secara beretika dan bertanggungjawab.
MCMC Siasat Individu Sebar Kandungan Disyaki Palsu first appeared on #1 The News Malaysia.