Sindir rakan sekerja, wanita maut ditikam, dicekik

by Oh! Semput


HOME Posted on 12 Jul 2018 01:01:23


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk dibedah siasat dan pihak polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek hari ini. — Paparan skrin Google
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk dibedah siasat dan pihak polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek hari ini. — Paparan skrin Google

SHAH ALAM, 12 Julai — Seorang pembantu tadbir maut dipercayai ditikam dan dicekik rakan sekerjanya dalam kejadian di sebuah kolej vokasional di Telok Datok, Banting dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, suspek yang merupakan pembantu makmal di kolej berkenaan dipercayai mencekik dan menikam Zaimah Mahmod, 57, menggunakan pisau.

Beliau berkata pihaknya sebelum itu menerima panggilan telefon daripada suspek berusia 28 tahun yang mengaku bahawa dia baru sahaja membunuh mangsa dengan cara menikam dan mencekik wanita itu.

Menurut Azizan, anggota polis kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian dan menemui suspek bersama mayat mangsa di dalam stor pejabat pentadbiran kolej tersebut.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek mengaku telah menikam dan mencekik mangsa sehingga mati akibat berdendam kerana sering disindir mangsa.

“Mangsa dikatakan selalu menyindir suspek ada ‘hubungan sulit’ dengan seorang staf di tempat kerja sama. Walaupun dinafikan oleh suspek, mangsa masih juga menyindir dan mengata suspek.

“Pada masa sama suspek juga didapati mempunyai rekod dan menjalani rawatan stres di Hospital Banting. Semasa kejadian hanya suspek dan mangsa sahaja berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Azizan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk dibedah siasat dan pihak polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek hari ini bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Bernama

SUMBER ASAL


Norlida Ishak Shop

Related News


Leave a Comment: